
AYER KEROH, 16 Ogos – Usaha memperkemas tadbir urus dan menangani kelemahan dalam institusi serta agensi kerajaan, termasuk Felda akan dilaksanakan selepas isu Tabung Haji, (TH) diteliti dan tindakan susulan dilaksanakan.
- Kerajaan akan meneliti pandangan ahli Parlimen, pengurusan TH dan laporan RCI sebelum mengambil sebarang tindakan.
- Cadangan meminda Akta Tabung Haji 1995 akan dikaji untuk diselaraskan dengan keperluan semasa.
- Perdana Menteri memberi jaminan perubahan akan dilaksanakan selepas menilai laporan dan pandangan berkaitan.
- Kelemahan tadbir urus pelaburan mesti ditangani menyeluruh; agensi kerajaan perlu tertakluk kepada kerangka kawal selia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika memberi jaminan itu berkata, kerajaan akan meneliti semua pandangan ahli parlimen, pengurusan TH serta laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan TH sebelum mengambil tindakan, termasuk cadangan meminda Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) supaya selaras dengan keperluan semasa.
“Kita (kerajaan) teliti semua hujah. Kita baca laporan dan teliti serta mendapatkan pandangan pengurusan Tabung Haji. Saya beri jaminan, insya-Allah… kita akan melaksanakan perubahan dan kita akan selesaikan termasuk Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535) akan dibina sesuai dengan keperluan dari sekarang. Itu tindakan kita, kita dengar pandangan mereka ahli Parlimen dan kita laksanakan,” katanya.
Datuk Seri Anwar yang juga Presiden PKR berucap pada sesi penggulungan Kongres Nasional KEADILAN 2026 di sini.
Beliau berkata, kelemahan tadbir urus dalam aktiviti pelaburan perlu ditangani secara menyeluruh dan tidak boleh lagi menganggap agensi kerajaan sebagai entiti yang bebas melakukan apa sahaja tanpa tertakluk kepada kerangka kawal selia.