
BRUSSELS, 16 Ogos – Belgium berdepan kebakaran hutan terbesar dalam sejarah moden negara itu apabila api yang tercetus di kawasan High Fens, timur Belgium, memusnahkan lebih 2,700 hektar hutan dan tanah gambut sejak Jumaat.
- Operasi pemadaman sukar kerana muka bumi tanah gambut, kawasan paya dan hutan sukar diakses oleh kenderaan kecemasan.
- Belgium mengaktifkan Mekanisme Perlindungan Awam Kesatuan Eropah untuk mendapatkan bantuan antarabangsa.
- Helikopter dari Belanda serta dua helikopter dan dua pesawat pengebom air dari Sweden dihantar membantu operasi.
- Penduduk dinasihatkan kekal di dalam rumah, tutup pintu dan tingkap bagi mengelakkan terdedah kepada asap tebal.
Kebakaran yang merebak pantas akibat cuaca panas, kering dan perubahan arah angin itu memaksa kira-kira 600 penduduk di beberapa kampung berhampiran dipindahkan sebagai langkah berjaga-jaga.
Pihak berkuasa berkata kawasan terbakar meningkat daripada kira-kira 80 hektar pada Jumaat kepada 2,700 hektar menjelang petang Sabtu, menjadikan kebakaran itu jauh lebih besar berbanding rekod sebelumnya pada 2011 yang memusnahkan hampir 1,400 hektar.
Pasukan bomba dari seluruh Belgium dikerahkan bagi mengawal kebakaran, namun operasi berdepan kesukaran berikutan bentuk muka bumi High Fens yang terdiri daripada tanah gambut, kawasan paya dan hutan yang sukar dimasuki kenderaan kecemasan.

Jurucakap pihak berkuasa Wallonia, Nicolas Yernaux berkata kebakaran masih belum dapat dikawal dan terdapat risiko api menghampiri kawasan perumahan.
Belgium turut mengaktifkan Mekanisme Perlindungan Awam Kesatuan Eropah bagi mendapatkan bantuan antarabangsa.
Sebuah helikopter dari Belanda telah dikerahkan ke lokasi, manakala dua lagi helikopter serta dua pesawat pengebom air dari Sweden turut dihantar bagi membantu operasi pemadaman.
Menteri Dalam Negeri Belgium, Bernard Quintin, menyifatkan kemusnahan yang berlaku sebagai mengejutkan, sambil memuji usaha petani tempatan yang turut membantu pasukan kecemasan dengan membasahkan kawasan sekitar kebakaran.

Sementara itu, penduduk di kawasan yang tidak diarahkan berpindah dinasihatkan kekal di dalam rumah serta menutup pintu dan tingkap bagi mengelakkan terdedah kepada asap tebal.
Kebakaran berlaku ketika Belgium mengalami gelombang haba dengan suhu mencecah 37 darjah Celsius di beberapa kawasan pada Jumaat.
Pesuruhjaya Eropah, Hadja Lahbib, menyifatkan kebakaran itu sebagai antara petunjuk perubahan iklim yang semakin ketara di Eropah, dengan musim kebakaran hutan berlaku lebih awal dan melanda kawasan yang semakin ke utara.
Kebakaran besar turut berlaku di Jerman, hanya beberapa puluh kilometer dari High Fens, sehingga kira-kira 1,800 penduduk terpaksa dipindahkan apabila api menghampiri kawasan perumahan di Huertgenwald.- REUTERS/AFP