
JAKARTA, 15 Ogos – Sekurang-kurangnya 20 orang maut selepas gempa bumi berukuran 7.7 magnitud dan beberapa gegaran susulan melanda perairan Pulau Flores, timur Indonesia pada Sabtu.
- Pasukan penyelamat belum dapat sampai ke Nagekeo kerana gangguan komunikasi dan tanah runtuh; pasukan lain menuju menggunakan feri.
- BNPB memindahkan kira-kira 2,000 penduduk Nagekeo; kerosakan dilaporkan pada rumah, gudang dan kemudahan kerajaan.
- Amaran tsunami mencatat gelombang kurang satu meter dan ditarik semula kira-kira tiga jam selepas gempa.
Ketua agensi penyelamat Maumere, Fathur Rahman, berkata pasukan penyelamat di sekitar bandar pelabuhan itu menemukan 20 mangsa maut, enam cedera dan dua lagi dipercayai terperangkap di bawah runtuhan.
Maumere merupakan bandar utama Kabupaten Sikka di Pulau Flores, Indonesia Timur.
Beliau berkata pasukan penyelamat masih belum dapat sampai ke Nagekeo, kawasan yang paling hampir dengan pusat gempa, akibat gangguan komunikasi dan tanah runtuh yang menghalang laluan darat.
Manakala, pasukan lain sedang berusaha menuju ke kawasan berkenaan menggunakan feri.
Beberapa kawasan di Indonesia turut merekodkan gelombang tsunami kurang satu meter dalam kejadian gempa yang berlaku awal pagi itu. Amaran tsunami itu ditarik semula kira-kira tiga jam selepas gempa.
Agensi Pengurusan Bencana Nasional Indonesia (BNPB) berkata kira-kira 2,000 penduduk di Nagekeo telah dipindahkan, manakala kerosakan dilaporkan berlaku pada beberapa rumah, gudang dan kemudahan kerajaan.
Gangguan trafik dan bekalan elektrik turut dilaporkan di beberapa kawasan.
Sementara itu, Gabenor Nusa Tenggara Timur, Emanuel Melkiades Laka Lena, berkata sekurang-kurangnya lima orang maut selepas tertimbus dalam runtuhan ketika sedang tidur.
BNPB setakat ini merekodkan seorang maut dan empat cedera, serta memaklumkan data sedang dikumpulkan.
Menurut BNPB gegaran kuat turut dirasai di Nusa Tenggara Timur, Nusa Tenggara Barat dan sebahagian Sulawesi Selatan, dengan penduduk di beberapa kawasan melaporkan gegaran berlaku kira-kira seminit.
“Kebanyakan orang ramai merasai gegaran dan bertempiaran keluar dari rumah mereka,” kata BNPB dalam satu kenyataan.
Sebuah hospital di Kabupaten Ende turut memindahkan pesakit ke kawasan luar bangunan sebagai langkah berjaga-jaga, manakala sekurang-kurangnya satu kejadian tanah runtuh dilaporkan.
Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik Indonesia (BMKG) merekodkan gempa pertama pada pukul 4.58 pagi waktu tempatan dengan kedalaman 15 kilometer, sebelum disertai beberapa gegaran susulan.
Menurut BMKG, kawasan sama pernah dilanda gempa bumi berukuran 7.5 magnitud pada 1992 yang mengakibatkan banyak kemusnahan.
Pusat Amaran Tsunami Australia pula memaklumkan gempa bumi bawah laut itu tidak menimbulkan ancaman tsunami kepada tanah besar, pulau atau wilayah Australia.
Indonesia terletak di Lingkaran Api Pasifik, iaitu zon yang sangat aktif dari segi seismik akibat pertembungan beberapa plat kerak bumi, sekali gus menjadikan negara itu sering dilanda gempa bumi dan letusan gunung berapi.- REUTERS