
SUNGAI BULOH, 15 Ogos – Pengorbanan menangguhkan semester pengajian membuahkan hasil lumayan buat pelumba Kedah, Nurul Nabilah Mohd Asri, apabila berjaya mempertahankan kejuaraan negeri itu dalam acara Cross-Country Olympic (XCO) wanita pada temasya SUKMA XXII Selangor 2026.
- Nurul Nabilah pertahankan emas XCO wanita, memastikan Kedah menang untuk edisi keempat berturut-turut.
- Menang perlumbaan lima pusingan 15 kilometer di Denai Peladang Agro dengan masa 1:16:40.
- Kedah catat podium berganda: Zahra Afifah Zamri perak, Qisya Batrisyia Othman raih gangsa.
- Nabilah sasar menambah koleksi emas dalam acara lebuh raya dan trek selepas ini.
Nabilah, 21, mengungguli perlumbaan lima pusingan sejauh 15 kilometer di Denai Peladang Agro dengan masa 1 jam 16 minit 40 saat, sekali gus memastikan pingat emas acara berbasikal bukit wanita kekal milik kontinjen Kedah untuk edisi keempat berturut-turut.
Kedah turut melakar kejayaan berganda apabila Zahra Afifah Zamri menamatkan saingan di tempat kedua untuk meraih perak dengan jurang hanya lapan saat (1:16:48), dan menewaskan wakil tuan rumah, Qisya Batrisyia Othman, yang berpuas hati dengan pingat gangsa (1:18:34).
Nabilah menyifatkan kejayaan pada penampilan terakhirnya di temasya dwitahunan itu sebagai detik paling manis selepas membuat keputusan mengambil lanjutan pengajian jurusan Pengurusan Sukan di UiTM Arau demi memberi tumpuan penuh kepada persediaan SUKMA.
”Alhamdulillah, saya bersyukur dapat menghadiahkan emas ini buat Kedah dan mengekalkan rekod kemenangan berturut-turut pada SUKMA terakhir saya. Laluan hari ini basah dan licin, jadi saya gunakan kelebihan di laluan teknikal untuk mengatasi bahagian yang sukar.
”Sebelum ini saya terpaksa lanjutkan semester belajar untuk fokus latihan penuh, termasuk berlatih bersama skuad lelaki bagi membina kekuatan fizikal. Terima kasih kepada jurulatih yang membimbing saya sejak Tingkatan 2 lagi; segala susah payah kami dahulu akhirnya terbalas,” jelasnya ketika ditemui RTM.
Pelumba kelahiran Jitra itu menegaskan misi pemburuan pingatnya belum berakhir, malah menyasarkan untuk menambah koleksi emas dalam baki acara lebuh raya (road race) dan trek (velodrom) yang disertainya selepas ini.