
KUALA LUMPUR, 15 Ogos — Tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) membabitkan Sabah dan Sarawak diangkat sebagai agenda nasional, kata Perdana Menteri.
- Kerajaan MADANI meningkatkan peruntukan khusus secara berperingkat kepada Sabah dan Sarawak, menunjukkan perhatian lebih serius terhadap tuntutan MA63.
- Daripada 29 perkara MA63, sembilan selesai, 13 dimuktamadkan dan tujuh masih dalam rundingan.
- Rundingan berterusan mengenai Petros-Petronas bagi mewujudkan kerjasama kukuh antara Kerajaan Persekutuan, Petronas dan Petros.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Kerajaan MADANI menjadi kerajaan pertama dalam sejarah yang melihat tuntutan Sabah dan Sarawak bukan sebagai isu sampingan, sebaliknya sebagai agenda penting dalam pembangunan negara.
“Kalau kita mahu berjaya sebagai sebuah negara, kita mesti bersedia menerima hakikat bahawa Semenanjung mesti bekerjasama, berganding bahu dengan Sabah dan Sarawak. Kita perlu maju bersama,” katanya.
Anwar berkata, kerajaan MADANI memberi perhatian lebih serius terhadap tuntutan MA63 dengan meningkatkan peruntukan secara khusus kepada Sabah dan Sarawak.
Beliau berkata, daripada 29 perkara berkaitan MA63, sembilan telah diselesaikan, 13 dimuktamadkan manakala tujuh masih dalam rundingan.
Katanya, kerajaan turut meningkatkan pemberian khas kepada Sabah dan Sarawak secara berperingkat.
Bagi Sabah, pemberian khas meningkat daripada RM26.7 juta setahun bagi tempoh 1973 hingga 2021 kepada RM1.5 bilion pada 2026.
Manakala peruntukan untuk Sarawak meningkat daripada RM16 juta kepada RM600 juta pada 2025, dengan pemberian 2026 masih dalam rundingan.
“Kalau mahu mereka itu sejajar, diangkat bersama kita, peruntukan harus ditambah. Permasalahan mereka harus lebih diteliti, tidak sebagai sebahagian daripada peraturan-peraturan percaturan negeri tetapi permasalahan khas dan itu yang kita lakukan,” katanya.
Anwar bagaimanapun mengakui masih terdapat ruang untuk kerajaan menambah baik pelaksanaan MA63, khususnya dalam memenuhi hasrat Sabah dan Sarawak.
“Saya akui dalam memenuhi hasrat MA63 masih ada ruang untuk kita perbaiki dan tingkatkan,” katanya.
Mengulas isu Petros-Petronas, beliau berkata, rundingan dengan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, terus dilakukan bagi memastikan kerajaan Persekutuan dan Petronas mempunyai kesediaan untuk mewujudkan kerjasama kukuh dengan Petros.
“Saya menyatakan dari segi dasar kita harus ada kesediaan Kerajaan Persekutuan dan Petronas untuk melihat supaya ada keselesaan untuk bekerjasama yang kukuh di antara Petronas dan Petros untuk maju ke depan,” katanya.
Antara perkara MA63 yang telah diselesaikan termasuk penetapan Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah serta Sarawak sebagai jabatan teknikal, wakil tetap Sabah dan Sarawak dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), penyerahan kuasa kawal selia elektrik kepada Sabah, Pelabuhan Bintulu menjadi pelabuhan negeri milik Sarawak serta penyerahan MASWings kepada Sarawak menjadi AirBorneo.