
KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia sebanyak enam peratus pada suku kedua 2026 sebagai perkembangan memberangsangkan ketika ekonomi dunia bergerak perlahan akibat krisis bekalan global dan pergolakan di Asia Barat.
- Pertumbuhan ekonomi mengatasi jangkaan pasaran dan mencatat prestasi suku kedua paling kukuh di luar pandemik sejak 2014.
- Kerajaan MADANI berjaya meredakan kesan inflasi global melalui intervensi, kawalan harga dan usaha memastikan bekalan mencukupi.
- Bantuan seperti BUDI MADANI, Sumbangan Tunai Rahmah dan Sumbangan Asas Rahmah membantu melindungi golongan berpendapatan rendah.
- Kerajaan akan terus melaksanakan reformasi untuk memastikan pertumbuhan mampan, pendapatan lebih baik, pekerjaan berkualiti dan kebajikan golongan rentan.
Menerusi perkongsian di Facebook, Datuk Seri Anwar berkata pertumbuhan itu mengatasi jangkaan pasaran, sekali gus mencatat prestasi suku kedua paling kukuh di luar tempoh pandemik sejak 2014.
“Kekuatan ini dimungkinkan oleh ikhtiar Kerajaan MADANI untuk memastikan kehidupan rakyat terbanyak tidak terjejas teruk oleh tempias inflasi dunia rentetan krisis di Asia Barat.
“Selain bantuan seperti BUDI MADANI, Sumbangan Tunai Rahmah (STR) serta Sumbangan Asas Rahmah (SARA), banyak yang telah diusahakan Kerajaan MADANI di sebalik tabir untuk mengawal harga serta memastikan bekalan terus mencukupi,” katanya.
Tambah Perdana Menteri, kerajaan menyedari masih banyak yang perlu dilaksanakan bagi memastikan momentum pertumbuhan ekonomi negara kekal mampan, selain memastikan kekayaan dan kemajuan negara dapat dinikmati oleh seluruh rakyat.
Katanya, usaha itu termasuk memastikan rakyat memperoleh pendapatan yang lebih baik, peluang pekerjaan yang berkualiti serta bantuan sewajarnya kepada golongan rentan.
“Insya-Allah, Kerajaan MADANI akan kekal pada landasan reformasi untuk mengangkat darjat rakyat dan mengukuhkan asas ekonomi tanah air yang tercinta,” katanya.