
MANILA, 14 Ogos – Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr mengesahkan beliau akan menyokong seorang calon dalam pilihan raya presiden 2028, namun belum memutuskan siapa yang akan mendapat sokongannya.
- Perlembagaan Filipina mengehadkan penggal presiden kepada satu penggal selama enam tahun.
- Sara Duterte mencatat kemajuan dalam tinjauan awal dan mengumumkan akan bertanding jawatan presiden 2028.
- Perpecahan Marcos dan Duterte mencetus penelitian kongres, sementara Duterte berdepan perbicaraan Senat; jika disabitkan, berdepan larangan politik seumur hidup.
Memandangkan perlembagaan Filipina mengehadkan penggal presiden kepada hanya satu penggal iaitu selama enam tahun, Marcos dijangka menyokong seorang calon, ketika pesaing politiknya, Sara Duterte mula mencatat kemajuan dalam tinjauan pendapat awal bagi pilihan raya presiden 2028.
Dalam satu acara bersama wartawan asing pada Jumaat, Marcos buat kali pertama mengesahkan beliau akan memberikan sokongan kepada seorang calon, namun masih terlalu awal untuk memilih sesiapa ketika ini.
“Anda perlu melihat bagaimana keadaan benar-benar berkembang. Saya belum duduk berbincang dengan sesiapa dan bertanya, ‘adakah anda mahu bertanding sebagai presiden atau tidak?’.
“Masanya akan tiba. Kami pastinya akan memberikan calon terbaik demi meningkatkan kehidupan rakyat. Kami akan memilih calon yang terbaik,” katanya.
Duterte, yang pernah menjadi sekutu Marcos sebelum bertukar menjadi musuh politik pada Februari lalu mengumumkan bahawa beliau akan bertanding jawatan presiden pada 2028.
Pengumuman dibuat selepas tercetus perselisihan besar antara dua pewaris keluarga politik berpengaruh itu, yang sama-sama bertanding dalam pilihan raya 2022.
Pakatan mereka mula retak pada awal penggal, sehingga membawa kepada penelitian kongres terhadap kewangan naib presiden itu.
Duterte kini berdepan perbicaraan di Senat yang bermula pada 6 Julai atas dakwaan melakukan penyelewengan kewangan, mengumpul kekayaan luar biasa, serta mengancam nyawa Marcos, dakwaan yang dinafikannya.
Jika disabitkan kesalahan, beliau berdepan larangan daripada terlibat dalam politik seumur hidup. -REUTERS