
BIRGEL, 14 Ogos – Pihak berkuasa Jerman mengarahkan kira-kira 1,800 penduduk berpindah dari rumah mereka pada awal pagi Jumaat, selepas kebakaran hutan di wilayah barat merebak ke arah sebuah kampung berhampiran sempadan Belgium.
- Penduduk kampung Gey diarahkan berpindah ke pusat bantuan di Strass, dinasihatkan membawa barang keperluan, dokumen pengenalan dan ubat.
- Operasi kecemasan berskala besar dilancarkan susulan kebakaran hutan yang menjejaskan kira-kira 25 hektar kawasan hutan.
- Agensi cuaca mengesahkan keadaan kering dan risiko kebakaran tinggi; Eropah alami musim kebakaran luar biasa akibat tumbuhan kering dan gelombang haba.
Penduduk diminta meninggalkan kampung Gey dengan segera dan menuju ke pusat bantuan yang dibuka di sebuah sekolah rendah di kampung berhampiran, Strass, menurut kenyataan pihak berkuasa perbandaran.
Mereka dinasihatkan membawa hanya barangan keperluan, dokumen pengenalan diri dan ubat-ubatan yang diperlukan.
Pada Khamis, pihak berkuasa tempatan melancarkan operasi kecemasan berskala besar, susulan kebakaran hutan yang menjejaskan kira-kira 25 hektar kawasan hutan berhampiran.
Menurut pegawai agensi cuaca, kawasan yang luas di Jerman kini dilanda keadaan kering dan risiko kebakaran hutan yang tinggi.
Benua Eropah kini berdepan musim kebakaran hutan yang luar biasa aktif, selepas musim sejuk menggalakkan pertumbuhan tumbuh-tumbuhan yang kemudiannya menjadi kering akibat gelombang haba yang melanda secara berturut-turut. -REUTERS