16 Tahun ETS: 44.3 juta penumpang pilih perkhidmatan KTMB

Gambar Hiasan/ Foto KTMB

KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Perkhidmatan Electric Train Service (ETS) Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) merekodkan 44.3 juta penumpang sepanjang 16 tahun sejak diperkenalkan pada 2010.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perkembangan ETS dari Ipoh ke wilayah utara dan selatan mencerminkan komitmen KTMB menyediakan perkhidmatan rel yang selamat dan selesa.
  • Pencapaian ETS menunjukkan kepercayaan penumpang; setiap perjalanan dianggap amanah untuk terus meningkatkan mutu dan pengalaman pelanggan.
  • Ulang tahun menjadi peluang menghargai penumpang dan warga kerja serta menegaskan komitmen memperluas rangkaian, kapasiti dan kualiti perkhidmatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Azlan Shah Al Bakri berkata perkembangan ETS bermula di Ipoh sebelum diperluas ke kawasan utara hingga kini ke selatan mencerminkan komitmen syarikat dalam menyediakan perkhidmatan rel yang selamat, selesa serta memenuhi keperluan mobiliti rakyat.

Menurut beliau, pencapaian itu turut mencerminkan tahap kepercayaan penumpang terhadap perkhidmatan ETS, dengan setiap perjalanan yang dibuat menjadi satu amanah kepada KTMB untuk terus meningkatkan mutu perkhidmatan.

“Sepanjang 16 tahun ini, seramai 44.3 juta penumpang telah memilih ETS sebagai sebahagian daripada perjalanan mereka. Bagi saya, setiap tiket yang dibeli dan setiap perjalanan yang dibuat membawa satu bentuk kepercayaan kepada KTMB,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena sambutan ulang tahun ke-16 ETS di sini.

Pada masa sama, beliau berkata sambutan ulang tahun berkenaan bukan sekadar meraikan pencapaian ETS, malah menjadi kesempatan untuk KTMB menghargai seluruh penumpang yang terus memberi kepercayaan kepada perkhidmatan berkenaan.

Jelas beliau, KTMB mahu memastikan ETS terus berkembang bukan sahaja dari segi rangkaian dan kapasiti, malah memberi penekanan terhadap peningkatan kualiti perkhidmatan serta pengalaman perjalanan pelanggan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kerja KTMB atas komitmen memastikan setiap perjalanan ETS dapat dilaksanakan dengan selamat dan lancar.

“Perjalanan 16 tahun ini adalah perjalanan kita bersama dan insya-Allah kita akan terus bergerak lebih jauh bersama-sama,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.