1,000 set meja, kerusi daripada kotak minuman kitar semula untuk sekolah

Foto MILO

KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Lebih 300 sekolah di seluruh negara menerima manfaat menerusi program kitar semula yang mengubah kotak minuman terpakai kepada peralatan sekolah, termasuk 1,000 set meja dan kerusi mesra alam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menukar kotak minuman terpakai kepada peralatan sekolah melalui sistem penebusan mata ganjaran, termasuk perabot bilik darjah dan peralatan sukan.
  • Menggalakkan amalan kitar semula dan budaya bersukan serta membentuk tabiat kitar semula berterusan dalam kalangan pelajar, guru dan keluarga.
  • Dilaksanakan bersama Kementerian Pendidikan dan Tetra Pak, program memberi pendedahan langsung kepada pelajar serta mengubah sikap terhadap kitar semula.

Inisiatif yang memasuki tahun kedua itu dilaksanakan menerusi program MILO® Tenaga Untuk Kebaikan, dengan pelajar digalakkan mengumpul dan mengitar semula kotak minuman terpakai sebelum menebusnya dengan peralatan yang diperlukan pihak sekolah.

Menerusi sistem penebusan berasaskan mata ganjaran, kotak minuman berkenaan ditukarkan kepada peralatan sekolah, termasuk perabot bilik darjah dan peralatan sukan.

Langkah berkenaan sekali gus menggalakkan amalan kitar semula serta memupuk budaya bersukan.

Sebanyak 1,000 set meja dan kerusi yang dihasilkan daripada kotak minuman terpakai akan disumbangkan kepada sekolah yang menunjukkan komitmen serta kadar penyertaan tinggi dalam program berkenaan.

Pelaksanaan inisiatif itu dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia dan Tetra Pak Malaysia turut memberi pendedahan secara langsung kepada pelajar mengenai konsep kitar semula, iaitu bahan yang dianggap sebagai sisa buangan boleh diproses semula untuk menjadi produk berguna.

Ketua Pegawai Eksekutif Nestlé Malaysia, Singapura dan Brunei Juan Aranols berkata program berkenaan bukan sekadar menggalakkan pengumpulan kotak minuman, sebaliknya bertujuan membentuk tabiat kitar semula yang boleh diamalkan secara berterusan.

“Dengan menggalakkan pelajar, guru dan keluarga menjadikan amalan kitar semula sebahagian daripada rutin harian, kami berharap dapat memupuk tabiat yang berkekalan dan melangkaui apa yang dipelajari di bilik darjah.

“Usaha kecil secara kolektif mampu menghasilkan impak yang besar kepada alam sekitar,” ujarnya.

Sementara itu,Guru Besar SJKC La Salle, Chua Chung Wei, berkata perubahan sikap pelajar terhadap amalan kitar semula menjadi antara manfaat utama program berkenaan.

“Ganjaran terbesar adalah melihat para pelajar menjadikan amalan kitar semula sebagai sebahagian daripada kehidupan seharian mereka.

“Mereka dapat memahami bahawa tindakan kecil mampu membawa hasil bermakna kepada sekolah dan alam sekitar, terutama apabila dapat melihat sendiri produk yang dihasilkan daripada kotak minuman yang dikumpulkan,” katanya.

Program berkenaan merupakan kesinambungan usaha kitar semula di sekolah menerusi The CAREton Project yang dilaksanakan lebih sedekad lalu.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.