Lebih 82,000 calon terima tawaran ke universiti awam

82,092 calon terima tawaran ke universiti awam.

KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Seramai 82,092 calon lepasan Program Matrikulasi, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Program Asasi, Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Diploma dan kelayakan setaraf menerima tawaran mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda di 20 Universiti Awam (UA) bagi sesi kemasukan kali ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • 76.10 peratus daripada 107,875 permohonan layak diterima menerusi sistem UPUOnline®.
  • Sebanyak 1,146 program pengajian Ijazah Sarjana Muda ditawarkan kepada calon berjaya.
  • Pemilihan calon dibuat berdasarkan prinsip meritokrasi, disusun mengikut markah dari tertinggi ke terendah.
  • Calon yang tidak menerima tawaran masih boleh membuat rayuan menerusi UPUOnline®; tempoh rayuan 10 hari hingga 5 petang, 23 Ogos.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan, jumlah itu mewakili 76.10 peratus daripada keseluruhan 107,875 permohonan yang layak diterima menerusi sistem UPUOnline®.

Sebanyak 1,146 program pengajian Ijazah Sarjana Muda ditawarkan kepada calon yang berjaya.

Menurut KPT, pemilihan dibuat berdasarkan prinsip meritokrasi dengan semua calon yang layak disusun mengikut markah merit, bermula daripada markah tertinggi hingga terendah.

Dalam pada itu, calon yang tidak menerima tawaran masih berpeluang mendapatkan tempat menerusi rayuan UPUOnline®.

Permohonan rayuan dibuka selama 10 hari bermula pukul 12 tengah hari ini hingga pukul 5 petang, 23 Ogos.

KPT turut mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya kepada semua calon yang berjaya serta berharap peluang melanjutkan pengajian ke peringkat pendidikan tinggi dimanfaatkan sebaik-baiknya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.