
SYDNEY, 14 Ogos – Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese telah meminta Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump supaya mengecualikan negara itu daripada tarif yang dikenakan pada Julai lalu.
- Albanese meminta Trump mengecualikan Australia daripada tarif 12.5% yang dikenakan Julai lalu atas dakwaan buruh paksa.
- Trump bersetuju mempertimbangkan pengecualian selepas perbualan telefon yang digambarkan sebagai mesra dan produktif.
- Mereka turut membincangkan kerjasama AUKUS, isu perang di Asia Barat, dan Australia menyokong perdagangan bebas serta menentang senjata nuklear Iran.
“Permintaan saya kepada presiden adalah supaya beliau mempertimbangkan pengecualian sepenuhnya atau sekurang-kurangnya tidak menaikkan tarif,” kata Albanese kepada pemberita.
Australia dikenakan tarif sebanyak 12.5 peratus pada bulan lalu berhubung dakwaan isu buruh paksa, bersama 59 negara lain.
Menurut Albanese, Trump bersetuju untuk mempertimbangkan pengecualian Australia daripada tarif itu dalam perbualan telefon yang disifatkannya sebagai “mesra dan produktif”.
“Saya meminta agar kedudukan Australia sebagai rakan AS turut dipertimbang dan presiden bersetuju untuk mempertimbangkan permintaan saya. Kami mempunyai pendirian berbeza mengenai tarif.
“Kerajaan kami berpandangan bahawa tarif merupakan beban ekonomi dan kos kepada negara yang mengenakannya, dan kami menyokong perdagangan bebas dan adil,” kata Albanese.
Kedua-dua pemimpin turut membincangkan perkembangan berhubung kerjasama AUKUS, yang menyaksikan Australia dijangka menerima sekurang-kurangnya tiga kapal selam berkuasa nuklear kelas Virginia dari AS dalam tempoh 15 tahun.
Albanese berkata, beliau turut membangkitkan isu perang di Asia Barat, selain mengulangi pendirian Canberra bahawa Tehran tidak boleh dibenarkan memiliki senjata nuklear.
“Saya menyatakan pendirian kami, ingin melihat konflik ditamatkan,” katanya. -AFP