Empat maut, ribuan terkandas akibat hujan lebat di Jepun

Foto REUTERS

TOKYO, 14 Ogos – Sekurang-kurangnya empat orang maut akibat hujan lebat luar biasa di timur Jepun, yang turut menyebabkan ribuan orang terkandas di Lapangan Terbang Narita sepanjang malam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Antara mangsa ialah seorang lelaki lingkungan 60-an atau 70-an dan seorang wanita 66 yang terperangkap dalam kereta dinaiki air.
  • Cuaca buruk menjejaskan lalu lintas dan perkhidmatan kereta api serta mencetuskan amaran tanah runtuh dan gangguan bekalan elektrik.
  • Agensi Meteorologi Jepun mengeluarkan amaran hujan lebat tahap tertinggi bagi wilayah Chiba buat kali pertama.
  • TEPCO memaklumkan kira-kira 27,000 isi rumah di Chiba, Ibaraki dan Tochigi terputus bekalan elektrik.

Pejabat Pengurusan Bencana Wilayah Chiba berkata, antara yang maut ialah seorang lelaki berusia lingkungan 60-an atau 70-an yang ditemukan terapung di jalan yang dinaiki air, serta seorang wanita berusia 66 tahun yang terperangkap dalam kereta yang ditenggelami air.

Mangsa ketiga, seorang lelaki yang tidak diketahui usia ditemukan dalam keadaan terbaring di jalan, manakala mangsa keempat belum dikenal pasti jantina dan usianya.

Seorang lagi dikhuatiri maut, manakala seorang masih belum ditemukan.

Menurut pejabat pengurusan bencana, setakat pagi Jumaat, hampir 26,000 isi rumah di seluruh wilayah Chiba terputus bekalan elektrik, manakala 45 buah rumah dinaiki air di bandar Ichikawa, Kashiwa dan Sakura.

Kira-kira 6,000 orang terkandas sepanjang malam di Narita yang merupakan antara dua lapangan terbang utama di Tokyo, manakala banyak perkhidmatan kereta api dari dan ke lapangan terbang itu dibatalkan sehingga petang Jumaat.

Ratusan orang turut terkandas di Stesen Chiba berikutan perkhidmatan kereta api yang digantung, manakala ratusan lagi penduduk bermalam di pusat pemindahan di Chiba.

Seorang pegawai Agensi Meteorologi Jepun (JMA) dalam sidang media pada Khamis berkata, hujan lebat yang sedang melanda dijangka menyaksikan tahap yang belum pernah berlaku sebelum ini.

Bagaimanapun, amaran hujan lebat tahap lima telah diturunkan kepada tahap empat pada pagi Jumaat. -AFP

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.