JPJ guna animasi semai kesedaran keselamatan jalan raya

Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 13 Ogos – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menggunakan kandungan animasi sebagai pendekatan baharu bagi menyampaikan mesej keselamatan jalan raya, khususnya kepada kanak-kanak.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerjasama dengan studio animasi menyampaikan mesej keselamatan jalan raya secara kreatif dan inovatif.
  • Sasaran utama ialah kanak-kanak supaya kesedaran keselamatan disemai sejak bangku sekolah.
  • Pendidikan keselamatan sejak usia muda berpotensi mempengaruhi sikap ibu bapa.
  • Teguran anak diharap mendorong ibu bapa lebih berhati-hati semasa memandu, terutama bila membawa anak.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, inisiatif itu dilaksanakan melalui kerjasama dengan sebuah studio animasi bagi menyampaikan mesej keselamatan jalan raya secara lebih kreatif dan inovatif.

“Sasaran utama kita ialah golongan kanak-kanak supaya dapat menyemai kesedaran keselamatan kepada mereka dari bangku sekolah lagi supaya apabila mereka menjadi dewasa, kesedaran mereka berkenaan keselamatan dapat ditingkatkan,” jelasnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Pengangkutan Tahun 2026 dan Pelancaran Bulan Kebangsaan kementerian itu di sini.

Tambah beliau, pendidikan keselamatan jalan raya sejak usia muda juga berpotensi mempengaruhi sikap ibu bapa.

“Teguran atau nasihat daripada anak-anak berhubung kesalahan jalan raya diharap dapat mendorong ibu bapa supaya lebih berhati-hati ketika memandu, terutama apabila membawa anak-anak,” tegasnya.

Loke menyifatkan kerjasama JPJ dengan studio animasi itu sebagai pendekatan di luar kebiasaan bagi memperbanyak kandungan kreatif yang menjurus kepada mesej keselamatan jalan raya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.