MBI Selangor terajui Majlis Perasmian SUKMA XXII, Para SUKMA Selangor

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 13 Ogos – Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI Selangor) menerajui penganjuran Majlis Perasmian SUKMA XXII dan Para SUKMA Selangor 2026 di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam, Sabtu ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kembalinya SUKMA ke Selangor selepas 28 tahun memberikan makna besar kepada negeri dan komuniti sukan.
  • Tema 'Di Sinilah Lahirnya Juara' meraikan perjalanan juara daripada impian, pengorbanan, disiplin, ketabahan dan keberanian.
  • Penganjur menggandeng MSNS, Sekretariat SUKMA, agensi negeri dan rakan strategik untuk penyelarasan dan legasi pembangunan sukan serta belia.
  • Pengisian utama meliputi perarakan kontinjen, istiadat pembukaan, persembahan besar, larian terakhir obor dan penyalaan kawah SUKMA.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBI Selangor, Datuk Ts. Saipolyazan M Yusop dalam satu kenyataan memaklumkan, majlis itu menandakan kepulangan temasya sukan kebangsaan berkenaan ke Selangor selepas 28 tahun, selain menjadi pembuka tirai kepada SUKMA XXII dan Para SUKMA Selangor 2026.

“Kembalinya SUKMA ke Selangor selepas 28 tahun merupakan detik yang cukup bermakna buat negeri ini. MBI Selangor berbesar hati diberikan kepercayaan untuk menerajui Majlis Perasmian yang meraikan kecemerlangan, semangat dan pengorbanan para atlet.

“Melalui kerjasama erat bersama pelbagai pihak, kami berharap penganjuran ini bukan sahaja menjadi pengalaman yang membanggakan buat seluruh rakyat Malaysia, malah meninggalkan legasi yang berkekalan kepada pembangunan sukan, belia dan Negeri Selangor,” menurut kenyataan itu.

Pihaknya akan menggembleng keupayaan, kepakaran, sumber dan rangkaian strategik Kumpulan MBI Selangor dengan penyelarasan bersama Majlis Sukan Negeri Selangor (MSNS), Sekretariat SUKMA XXII Selangor 2026, agensi Kerajaan Negeri serta rakan strategik.

Penganjuran majlis berkenaan adalah satu penghormatan besar kepada Selangor untuk kembali menjadi tuan rumah temasya sukan kebangsaan selepas hampir tiga dekad.

Majlis yang mengangkat tema ‘Di Sinilah Lahirnya Juara’ itu akan meraikan perjalanan seorang juara daripada impian dan pengorbanan kepada disiplin, ketabahan serta keberanian sehingga berjaya mengharumkan nama negeri dan negara.

Antara pengisian utama ialah perarakan kontinjen negeri, istiadat rasmi pembukaan, persembahan kreatif berskala besar, larian terakhir obor SUKMA serta upacara penyalaan kawah SUKMA.

Penganjuran berkenaan turut mendapat sokongan sektor korporat dan rakan strategik, termasuk Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) sebagai Rakan Penaja Utama, selain beberapa syarikat dan agensi lain sebagai rakan penaja serta rakan komuniti.

Orang ramai dijemput menyaksikan majlis berkenaan pada 15 Ogos ini, bermula pukul 7.30 malam di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.