Kematian bapa cetus keraguan Messi untuk teruskan karier

Lionel Messi bersama mendiang ayahnya Jorge Messi/ REUTERS

BARCELONA, 13 Ogos – Lionel Messi mengakui kematian bapanya, Jorge Messi minggu lalu menimbulkan keraguan terhadap masa depannya dalam karier bola sepak.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jorge, 68, meninggal di sebuah klinik di Rosario selepas lama berdepan masalah kesihatan.
  • Bapa sentiasa mendampinginya sejak awal karier, termasuk ketika bersama Barcelona dan bertindak sebagai wakilnya.
  • Messi dedah bermain Piala Dunia lalu kerana hasrat bapanya walaupun keadaan bapanya semakin serius.
  • Beliau menangis meraikan gol menentang Algeria; berjanji mengenang jasa bapa dengan membesarkan anak-anaknya seperti dia.

Kapten Argentina berusia 39 tahun itu berkata, beliau tidak pasti sama ada mahu meneruskan kariernya untuk tempoh lebih lama selepas kehilangan insan yang sentiasa berada di sisinya sejak awal perjalanan sebagai pemain bola sepak.

“Saya tidak tahu apa yang akan saya lakukan tanpa kamu. Saya tidak tahu bagaimana untuk meneruskan kehidupan. Saya hanya bermain bola sepak dan kini saya mempunyai banyak keraguan sama ada saya akan terus melakukannya untuk tempoh yang lebih lama,” katanya menerusi hantaran penghormatan di Instagram pada Rabu.

Jorge, 68, meninggal dunia di sebuah klinik perubatan di Rosario, Argentina minggu lalu selepas lama mengalami masalah kesihatan.

Menurut Messi, bapanya sentiasa mendampinginya sejak awal karier, termasuk ketika beliau mula mencipta nama bersama Barcelona dan kemudiannya bertindak sebagai wakilnya selama beberapa tahun.

Messi turut mendedahkan bahawa antara sebab beliau beraksi pada Piala Dunia lalu adalah kerana ia merupakan hasrat bapanya.

“Jorge sentiasa meminta saya bermain pada Piala Dunia terakhir dan beberapa hari sebelum kejohanan bermula, keadaan kamu bertambah buruk.

“Ketika itu kali pertama kamu tidak dapat hadir ke kejohanan… Setiap kali perlawanan berakhir, saya akan menunggu dan berharap menerima mesej daripada kamu. Ketika itulah saya menyedari betapa seriusnya keadaan tersebut,” katanya.

Argentina menamatkan kempen Piala Dunia sebagai naib juara selepas tewas kepada Sepanyol dalam perlawanan akhir menerusi masa tambahan.

Messi berkata, beliau turut melalui detik penuh emosi ketika meledak hatrik dalam perlawanan pembukaan menentang Algeria apabila menangis ketika meraikan gol pertamanya.

Beliau kemudian menjelaskan air matanya berpunca daripada “sesuatu yang tidak berkaitan dengan bola sepak” selepas melalui “beberapa hari yang sukar dan rumit”.

Menurut Messi, beliau mahu menjulang trofi Piala Dunia kedua buat Argentina sebagai hadiah kepada bapanya, namun sudah tidak mempunyai tenaga untuk membantu pasukan mencapai impian itu.

“Kaki saya sudah tidak mampu meneruskan perjuangan. Kali ini saya cuba memaksa diri melebihi had fizikal, tetapi tidak mampu. Saya tidak pernah berasa sihat sepenuhnya…

“Kami tidak menjadi juara, tetapi kamu tidak tahu betapa kami menikmati setiap perlawanan. Sekali lagi, kamu betul, saya perlu berada di sana dan bermain,” katanya.

Walaupun masih bersedih, penyerang Inter Miami itu berjanji akan terus mengenang jasa bapanya menerusi cara beliau membesarkan anak-anaknya.

“Saya akan sangat merindui kamu, tetapi kamu akan sentiasa ada, khususnya dalam membesarkan anak-anak saya. Saya akan mengajar dan membesarkan mereka seperti mana kamu membesarkan saya,” katanya.- REUTERS

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.