
JOHOR BAHRU, 12 Ogos – Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Tasek Utara, Johor Bahru, Johor, Wan Harriz Wan Abdul Qayyum, 10 tahun mengharumkan nama negara apabila muncul juara pertandingan bahasa Inggeris dalam ‘Play-Off Qualifier Round’, ‘Hippo English The Contest 2026’ di Doha, Qatar.
- Beliau menewaskan 14 peserta dari Malaysia, Arab Saudi dan Kyrgyzstan, melayakkan diri ke peringkat akhir dunia.
- Layak ke peringkat akhir dunia di Spoleto, Itali bermula 28 September.
- Exco merakamkan penghargaan kepada ibu bapa, guru dan pihak sekolah atas sokongan serta bimbingan.
- Murid itu satu-satunya wakil sekolah, berjaya selepas dua pusingan kelayakan daripada kira-kira 93,000 peserta global.
Exco Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Dr Muhammad Naqib Ghazali berkata Wan Harriz menewaskan 14 peserta dari Malaysia, Arab Saudi dan Kyrgyzstan, sekali gus melayakkan dirinya ke ‘World Final’ di Spoleto, Itali, bermula 28 September ini.
“Saya juga ingin merakamkan penghargaan kepada ibu bapa, guru-guru dan pihak sekolah yang sentiasa memberikan sokongan serta bimbingan kepada Wan Harriz.
“Insya-Allah, kita doakan Wan Harriz terus cemerlang dan berjaya membawa nama Johor dan Malaysia lebih jauh di pentas dunia!,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Wan Harriz merupakan satu-satunya wakil SK Tasek Utara, berjaya ke pertandingan tersebut selepas melepasi dua pusingan kelayakan, disertai kira-kira 93,000 orang murid dari seluruh dunia.