Thailand wajibkan penetapan semula kata laluan di semua agensi kerajaan

Foto Fail RTM

BANGKOK, 12 Ogos – Kabinet Thailand pada Selasa meluluskan langkah bagi mencegah kebocoran data peribadi yang berpunca daripada kebocoran maklumat log masuk.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penetapan semula kata laluan dan pengesahan berbilang faktor diwajibkan bagi semua agensi kerajaan.
  • Pegawai serta kakitangan di lebih 300 jabatan dikehendaki menukar kata laluan segera untuk cegah penyamaran identiti menggunakan data bocor.
  • Semua kementerian diberi 15 hari untuk menyemak lebih 30,000 sistem dan menutup akses bahagian belakang sistem lama.
  • Agensi Keselamatan Siber diberi kuasa di bawah Akta untuk mengarah entiti kerajaan dan swasta mematuhi langkah keselamatan.

Menurut laporan Xinhua, tindakan tersebut termasuk mengarahkan penetapan semula kata laluan serta pelaksanaan pengesahan berbilang faktor secara mandatori di semua agensi kerajaan.

Jurucakap kerajaan, Rachada Dhnadirek pula berkata, langkah yang dicadangkan Jawatankuasa Keselamatan Siber Kebangsaan itu bertujuan memperkukuh perlindungan data peribadi dan mengurangkan ancaman siber terhadap sektor awam secara sistematik.

“Pegawai dan kakitangan di lebih 300 jabatan kerajaan diwajibkan menukar kata laluan mereka dengan segera bagi menghalang penggunaan pangkalan data yang sebelum ini telah dibocorkan untuk tujuan penyamaran identiti.

Semua kementerian dan jabatan diberi tempoh 15 hari untuk menyemak lebih 30,000 sistem maklumat di bawah seliaan masing-masing serta menutup secara kekal akses bahagian belakang sistem bagi mana-mana sistem lama atau yang tidak lagi digunakan,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, banyak agensi menganggap laman web yang ditutup sudah memadai, sedangkan sistem bahagian belakang masih beroperasi dan mewujudkan kelemahan keselamatan.

Kabinet turut memberi kuasa kepada Agensi Keselamatan Siber Kebangsaan untuk bertindak di bawah Akta Keselamatan Siber bagi mengarahkan entiti kerajaan dan swasta mematuhi langkah berkenaan.

Jurucakap itu berkata langkah tersebut akan meningkatkan keyakinan orang ramai, komuniti perniagaan dan pelabur, selain menyelaraskan piawaian keselamatan siber Thailand dengan standard antarabangsa. – BERNAMA-XINHUA

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.