
KUALA LUMPUR, 11 Ogos – Status pelaksanaan syor Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Tabung Haji (TH) wajar dibentangkan kepada Parlimen.
- Bentangkan secara terperinci syor RCI: selesai, dalam pelaksanaan dan garis masa baki syor di Parlimen.
- Terbitkan laporan pemulihan kerugian untuk tatapan umum bagi memastikan ketelusan tindakan dan kemajuan pemulihan.
- Utamakan pengurusan amanah setiap simpanan pendeposit Tabung Haji supaya wang dihormat dan dilindungi.
- Pastikan mereka yang menyebabkan kerugian dikenakan tindakan dan dipertanggungjawabkan mengikut undang-undang.
Ahli Parlimen Sekijang yang juga Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, langkah itu penting bagi memastikan rakyat mendapat gambaran yang lebih jelas mengenai tindakan susulan kerajaan.
“Baru-baru ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) ada memaklumkan bahawa 75 peratus daripada keseluruhan 25 syor RCI telah pun dilaksanakan.
“Jadi saya cadangkan, syor mana yang telah selesai dan mana yang masih dalam pelaksanaan serta garis masa bagi baki syor-syor yang masih belum dilaksanakan dibentangkan di Parlimen,” katanya pada sesi perbahasan Sidang Khas Dewan Rakyat mengenai Laporan RCI TH.
Beliau turut mencadangkan supaya laporan mengenai usaha pemulihan kerugian diterbitkan untuk tatapan umum bagi memastikan rakyat mengetahui tindakan yang telah, sedang dan akan dilaksanakan bagi membetulkan keadaan.
Tegas Datuk Seri Dr. Zaliha, keutamaan kini ialah memastikan setiap simpanan pendeposit TH diuruskan dengan amanah, di samping memastikan pihak yang menyebabkan kerugian dipertanggungjawabkan.