
CARACAS, 11 Ogos – Para pegawai kanan Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) mengadakan pertemuan dengan Presiden Interim, Delcy Rodriguez pada Isnin ketika ketidakstabilan grid elektrik negara itu mengancam rancangan Washington untuk meningkatkan pengeluaran minyak di negara Amerika Selatan berkenaan.
- Pegawai AS Jonathan Greenstein dan Jonathan Burke mengadakan pertemuan dengan Delcy Rodriguez.
- Perbincangan fokus pada usaha mencapai kestabilan pasaran tenaga dan mengaktifkan semula mekanisme kewangan.
- Venezuela miliki rizab minyak terbesar dunia tetapi pengeluaran kini jauh lebih rendah berbanding purata beberapa dekad lalu.
- Pakar menyalahkan rasuah dan salah tadbir sebagai punca kemerosotan; kerajaan Chavista menuding sekatan AS, walaupun beberapa dilonggarkan.
Tujuh bulan selepas AS menggulingkan bekas pemimpin Nicolas Maduro dalam serbuan ketenteraan, Rodriguez kini menerajui Venezuela bawah tekanan hebat daripada Presiden AS, Donald Trump, yang mahu mengambil alih pengurusan industri minyak negara itu.
Menurut kenyataan pejabat presiden Venezuela, Rodriguez pada Isnin mengadakan pertemuan dengan Timbalan Setiausaha Negara AS bagi Hal Ehwal Antarabangsa, Jonathan Greenstein dan Penolong Setiausaha bagi Pembiayaan Keganasan serta Jenayah Kewangan, Jonathan Burke.
“Dalam pertemuan itu, mereka membincangkan usaha mencapai kestabilan pasaran tenaga dan mengaktifkan semula mekanisme kewangan,” menurut kenyataan itu.
Venezuela terbukti memiliki rizab minyak terbesar di dunia, namun pengeluaran semasanya iaitu kira-kira satu juta tong minyak mentah sehari jauh lebih rendah berbanding purata tiga juta tong sehari yang dicatatkan beberapa dekad lalu.
Pakar mengaitkan kemerosotan pengeluaran itu dengan masalah rasuah dan salah tadbir urus yang telah berlarutan selama bertahun-tahun.
Kerajaan Venezuela yang masih dikuasai parti pemerintah, Chavista pula bertegas bahawa penurunan ketara tersebut berpunca daripada sekatan yang dikenakan AS.
Walaupun Washington telah melonggarkan sekatan sejak kejatuhan Maduro, termasuk sekatan perdagangan minyak mentah Venezuela, AS masih mengekalkan pengawasan dan kawalan ketat terhadap proses berkenaan.- AFP