Jerebu: Puluhan sekolah di Indonesia ditutup buat hari kedua berturut-turut

Usaha pemadaman api di Taman Negara Bromo Tengger Semeru masih giat dijalankan – Foto AFP

SURABAYA, 11 Ogos – Puluhan sekolah di Indonesia ditutup untuk hari kedua berturut-turut berikutan jerebu yang semakin merebak akibat kebakaran hutan dan tanah pada permulaan musim kering yang diburukkan oleh fenomena El- Nino.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lebih 107,000 hektar tanah terbakar di seluruh negara, dua kali ganda berbanding 2023.
  • Lebih 48,000 anggota dikerahkan di enam wilayah, disokong helikopter, lori bomba dan kira-kira 200 petugas di taman negara.
  • Taman Negara Bromo Tengger Semeru ditutup, kebakaran musnahkan kira-kira 900 hektar dan ganggu tarikan pelancong.

Di Kalimantan Barat, Datuk Bandar Pontianak, Edi Rusdi Kamtono mengarahkan sekolah ditutup susulan asap yang menyelubungi bandar itu akibat kebakaran di kawasan lain, yang menjejaskan puluhan ribu murid.

“Murid-murid akan mengikuti pembelajaran dari rumah selagi kualiti udara kekal buruk, ” kata Edi Rusdi dalam satu kenyataan pada Isnin, tanpa menyatakan jumlah sekolah yang terjejas.

“Kami sudah mula merasai kesannya, terutama pada waktu malam dan pagi, apabila jerebu telah menyelubungi bandar Pontianak,” katanya lagi.

Di Pulau Jawa, anggota bomba bertungkus-lumus memadam api buat hari kesembilan di sebuah taman negara susulan kebakaran yang tercetus hingga menyebabkan kemusnahan kawasan seluas 900 hektar.

Jumlah itu bersamaan lebih 1,200 padang bola sepak dan hampir dua peratus daripada keseluruhan kawasan taman negara berkenaan.

Taman Negara Bromo Tengger Semeru, yang merupakan tarikan utama pelancong, ditutup kepada pengunjung sejak Sabtu lepas.

“Kami sedang berusaha sedaya upaya dan menggerakkan segala sumber untuk memadam kebakaran serta mengairi kawasan berkenaan,” kata pegawai bencana tempatan, Satriyo Nurseno kepada AFP.

“Kami berharap api di semua kawasan dapat dipadamkan hari ini, sebelum kerja-kerja pengairan dilakukan bagi mengelakkan api daripada tercetus semula.”

Tiga helikopter pengebom air dan beberapa lori bomba turut membantu kira-kira 200 anggota bomba, renjer hutan, polis dan tentera memadam api kebakaran.

Sementara itu, Agensi Pengurusan Bencana Kebangsaan (BNPB) memaklumkan, lebih 48,000 anggota telah dikerahkan untuk membendung kebakaran di enam wilayah.

Lebih 107,000 hektar tanah telah terbakar di seluruh negara, setakat ini.

Jumlah itu dua kali ganda berbanding kawasan yang terbakar pada 2023.

Menteri Keselamatan, Djamari Chaniago pula pada Isnin berkata, kerajaan telah mengerahkan 43 helikopter dan 15 pesawat bagi menjalankan pembenihan awan di kawasan yang memerlukan.

Dalam pada itu, Agensi Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) memaklumkan, purata suhu pada Julai mencecah 27 darjah Celsius, lebih tinggi berbanding purata 26.2 darjah Celsius.

Peningkatan itu merupakan yang tertinggi bagi bulan Julai sejak 1991.

Meski berdepan cabaran El-Nino, pihak berkuasa menegaskan bahawa bekalan makanan masih mencukupi. – AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.