
BEIJING, 11 Ogos – Sebuah roket China yang membawa satelit komunikasi gagal dilancarkan pada Isnin.
- Kegagalan berpunca daripada 'anomali penerbangan' dan roket dipercayai meletup di udara; punca sedang disiasat.
- Rakaman menunjukkan roket meletup kira-kira 85 saat selepas pelancaran, meninggalkan kepulan asap dan serpihan jatuh.
- China terus membelanjakan berbilion untuk program angkasa, berjaya mendaratkan roket boleh guna semula Julai, sasar angkasawan ke bulan sebelum 2030.
Media kerajaan melaporkan kegagalan itu berpunca daripada ‘anomali penerbangan’ dengan video menunjukkan roket berkenaan dipercayai meletup di udara.
Beijing membelanjakan berbilion-bilion dolar untuk program angkasa dalam beberapa tahun kebelakangan ini bagi merealisasikan ‘impian angkasa lepas’ China, seperti yang disebut oleh Presiden Xi Jinping.
“Kegagalan itu melibatkan roket Long March 7A, yang dilancarkan dari Pusat Pelancaran Angkasa Wenchang di Hainan, wilayah selatan China pada pukul 8:02 malam (1202 GMT), menurut agensi berita rasmi, Xinhua.
“Satu ‘anomali’ atau kerosakan teknikal berlaku ketika roket yang membawa satelit komunikasi Zhongxing-4B itu sedang dalam penerbangan.
“Punca kegagalan tersebut sedang disiasat, ” lapor Xinhua.
Sementara itu, Channel NewsAsia, stesen penyiaran yang berpangkalan di Singapura dalam satu hantaran di Instagram memaklumkan, roket berkenaan telah meletup dan memuat naik rakaman dari lokasi kejadian yang menunjukkan orang ramai terpinga-pinga menyaksikan bebola api di langit.
Satu video yang dimuat naik beberapa jam selepas pelancaran oleh akaun media sosial yang berpangkalan di Hainan pula menunjukkan roket itu meletup dan diselubungi api kira-kira 85 saat selepas dilancarkan, meninggalkan kepulan asap kelabu ketika serpihan jatuh ke tanah.
China pada Julai berjaya mendaratkan roket boleh guna semula buat kali pertama, sekali gus menandakan satu langkah besar ke arah mencapai cita-cita tinggi dalam program angkasa lepas serta usaha mengurangkan kos pelancaran.
China mengejar impian untuk angkasawan ke bulan sebelum 2030, dalam perlumbaan yang turut disertai Amerika Syarikat menerusi program Artemis.
Ketua Pegawai Eksekutif SpaceX, Elon Musk ketika mengulas kegagalan itu dalam satu hantaran di platform X berkata, roket sememangnya sangat sukar untuk dibangunkan.
“Saya berharap mereka dapat pulih dengan segera,” tambahnya.
Sebahagian roket SpaceX seberat empat tan dipercayai terhempas secara tidak sengaja ke bulan pada Rabu dan dijangka meninggalkan kawah di permukaan bulan.
Pelancaran sulung roket Long March 7A China dari tapak Wenchang pada 2020 turut gagal akibat satu kerosakan berlaku, lapor Xinhua. – AFP