Gempa bumi: Colombia isytihar darurat, dunia hulur bantuan kemanusiaan

Foto AFP

PEREIRA, 11 Ogos – Kerajaan Colombia mengisytiharkan darurat berikutan gempa bumi kuat yang mengorbankan sekurang-kurangnya 111 nyawa serta meruntuhkan puluhan bangunan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Gempa 7.4 magnitud melanda barat Colombia, mencetuskan operasi menyelamat besar-besaran di beberapa bandar utama.
  • Presiden Abelardo de la Espriella mengerahkan seluruh kapasiti dan sumber untuk melindungi nyawa serta membantu komuniti terjejas.
  • Pereira, Manizales dan Cali antara kawasan paling teruk; katedral di Manizales runtuh dan bangunan di Cali memerangkap mangsa.
  • Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah dan negara lain menawarkan bantuan; Copernicus diaktifkan untuk sokong operasi menyelamat.

Gempa bumi berukuran 7.4 magnitud itu melanda wilayah barat Colombia pada pukul 7:34 pagi waktu tempatan pada Isnin, mencetuskan operasi menyelamat secara besar-besaran di beberapa bandar utama.

“Kerajaan mengerahkan seluruh kapasiti dan sumber bagi melindungi nyawa, membantu komuniti terjejas serta menyalurkan bantuan ke setiap kawasan yang memerlukan,” tegas Presiden Abelardo de la Espriella menerusi satu kenyataan.

Presiden yang baharu dilantik tiga hari lalu itu mengesahkan angka korban kini mencecah 111 orang, manakala 87 lagi cedera dan lebih 1,000 bangunan mengalami kerosakan.

Pereira menjadi antara kawasan terjejas paling teruk.

Pihak berkuasa tempatan memaklumkan sekurang-kurangnya 40 orang terkorban di wilayah Risaralda.

Di bandar Manizales, sebuah menara katedral ikonik dilaporkan runtuh akibat gegaran dahsyat berkenaan.

Di Cali, bandar ketiga terbesar di Colombia, sekurang-kurangnya 20 bangunan runtuh dan memerangkap mangsa di bawah runtuhan struktur,” jelas Datuk Bandar Alejandro Eder.

Gegaran awal pagi itu turut dirasai hingga ke negara jiran seperti Ecuador, Panama dan Venezuela, selain memaksa pemindahan penduduk terjejas dari bangunan dijalankan di Bogota.

Susulan bencana berkenaan, agensi penerbangan awam mengesahkan enam lapangan terbang kecil di barat Colombia menggantung operasi, manakala badan pengurusan bola sepak tempatan menangguhkan semua perlawanan yang dijadualkan.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio menerusi hantaran di platform X menyatakan Washington sentiasa memantau perkembangan bencana tersebut dan sedia memberikan bantuan.

Presiden Suruhanjaya Eropah, Ursula von der Leyen turut mengesahkan Kesatuan Eropah (EU) sedia menghulurkan sokongan.

“Kami telah mengaktifkan Copernicus, iaitu perkhidmatan satelit kami bagi membantu operasi menyelamat di lapangan,” katanya.

Selain AS dan EU, beberapa negara lain seperti Mexico, Ecuador dan Perancis turut menawarkan bantuan kemanusiaan.- AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.