
SHAH ALAM, 10 Ogos – Langkah susulan akan diambil sekiranya bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) mencapai tahap tidak sihat sepanjang penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026.
- Keputusan langkah pencegahan atau pelarasan jadual akan dibuat berdasarkan keadaan semasa dan nasihat agensi berkaitan seperti MetMalaysia dan Jabatan Kesihatan.
- Tindakan lanjut akan diambil sekiranya bacaan IPU melebihi 100 untuk menangani keadaan jerebu.
- Kerajaan negeri sentiasa memantau laporan rasmi bagi memastikan keselamatan dan kesihatan atlet serta orang awam sepanjang temasya.
- Johan Setia merekodkan trend kualiti udara tidak sihat, dipercayai dipengaruhi faktor lokasi dan kemungkinan kebakaran setempat.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sebarang langkah pencegahan atau penyesuaian jadual pertandingan akan diputuskan berdasarkan keadaan semasa serta nasihat agensi berkaitan.
“Kita akan semak apabila IPU sampai ke tahap tidak sihat dan ambil langkah sebagaimana yang dinasihatkan oleh MetMalaysia dan Jabatan Kesihatan.
“Kalau IPU mencecah lebih 100, kita akan ambil tindakan seterusnya untuk menangani keadaan jerebu yang sejak dua tiga hari ini agak buruk daripada segi indeks pencemaran udara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media majlis Penyerahan Geran Pembangunan Negeri Selangor (SELidik) 2026, di sini, hari ini.
Jelas Datuk Seri Amirudin lagi, kerajaan negeri sentiasa memantau laporan rasmi bagi memastikan keselamatan dan kesihatan atlet serta orang awam sepanjang temasya berlangsung.
Mengulas keadaan di Johan Setia, beliau berkata kawasan itu menunjukkan trend kualiti udara tidak sihat yang dipercayai dipengaruhi faktor lokasi serta kemungkinan berlaku kebakaran setempat.
“Selain daripada kedudukan lokasi dan sebagainya, mungkin ada kebakaran.
“Tetapi situasinya tidak seburuk ketika kita terpaksa mengisytiharkan darurat jerebu. Kita akan terus pantau dari semasa ke semasa,” katanya.
Johan Setia merekodkan bacaan IPU 153, sekali gus menjadi satu-satunya kawasan di Semenanjung Malaysia yang berada pada tahap tidak sihat.