
GERIK, 10 Ogos – Mesyuarat Kabinet akan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sepanjang ketiadaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- Perdana Menteri akan menjalani rawatan dan pembedahan kecil bagi merawat hernia perut.
- Prosedur pembedahan laparoskopi elektif berjalan lancar, beliau kini menjalani fisioterapi dan pemantauan pakar perubatan.
- Beliau dijangka memerlukan sekurang-kurangnya dua hari rehat sebelum kembali menjalankan tugas.
Datuk Seri Ahmad Zahid berkata, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Perdana Menteri kepadanya yang dijangka menjalani rawatan dan pembedahan kecil.
“Beliau sendiri telah memberitahu saya bahawa beliau akan menjalani rawatan dan pembedahan kecil. Walau sekecil mana pun beliau memerlukan ‘down time’, sekurang-kurangnya dua hari. Tetapi pada hemat saya, beliau memerlukan waktu rehat yang secukupnya,” katanya ketika ditemui di Gerik, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah turut mendoakan agar Datuk Seri Anwar segera pulih dan kembali menjalankan tugas demi negara dan rakyat.
Terdahulu, Perdana Menteri selamat menjalani prosedur pembedahan laparoskopi secara elektif bagi merawat hernia perut (para-umbilical hernia).
Prosedur itu berjalan lancar dan beliau kini menjalani rawatan fisioterapi serta berada di bawah pemantauan pasukan pakar perubatan.
Datuk Seri Anwar yang juga Menteri Kewangan dijangka memerlukan sekurang-kurangnya dua hari untuk berehat sebelum kembali menjalankan tugas seperti biasa.