
SHAH ALAM, 10 Ogos – Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan RM3.5 juta bagi pelaksanaan Geran Pembangunan Negeri Selangor, (SELidik 2026), dalam usaha memperkukuh penyelidikan dan inovasi berteraskan Rancangan Selangor Kedua,(RS-2).
- Geran SELidik 2026 menyalurkan RM2.5 juta kepada UIS dan UNISEL untuk fasa pertama menghasilkan modul, aplikasi dan prototaip penyelidikan.
- RM1 juta dibuka untuk universiti tempatan Selangor; keutamaan diberikan; penglibatan universiti antarabangsa dipertimbang jika lebihan peruntukan.
- Penyertaan penyelidik tempatan dibuka tetapi mesti mematuhi syarat berkaitan enam tema utama Rancangan Selangor Ke-2.
- Hasil kajian dipetakan kepada jawatankuasa tetap STANCO untuk dimanfaatkan terus oleh pembuat keputusan negeri.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, RM2.5 juta daripada jumlah itu disediakan kepada dua universiti milik kerajaan negeri, iaitu Universiti Islam Selangor (UIS) dan Universiti Selangor (UNISEL).
Menerusi fasa pertama, kedua-dua universiti itu akan menghasilkan pelbagai hasil penyelidikan termasuk modul, aplikasi dan prototaip.
“Sebanyak RM1 JUTA lagi akan buka untuk universiti-universiti tempatan di seluruh Negeri Selangor. Keutamaan akan diberikan kepada universiti tempatan di Negeri Selangor terlebih dahulu. Sekiranya terdapat lebihan peruntukan, kita akan mempertimbangkan untuk membukanya kepada universiti antarabangsa.
“peruntukan akan turut dibuka kepada penyelidik-penyelidik tempatan tapi syarat ini terbukalah. Bagaimanapun terdapat beberapa syarat yang perlu dipenuhi, yang mempunyai kaitan dengan enam tema atau enam teras dalam Rancangan Selangor Ke-2,” katanya selepas sesi penyerahan tawaran geran berkenaan di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS), di sini.
SELidik turut memberi tumpuan kepada enam tema utama RS-2, termasuk memacu kepimpinan ekonomi Selangor, negeri penyayang dan berdaya huni serta negeri lestari, berdaya tahan dan strategik.
Dalam pada itu, inisiatif di bawah kelolaan Yayasan Selangor selaku agensi pelaksana utama itu juga dijangka memberi pulangan pelaburan dari segi pembangunan ekonomi, kecemerlangan ilmu serta pemerkasaan modal insan.
Katanya, hasil kajian yang dijalankan menerusi program SELidik turut dipetakan terus kepada jawatankuasa tetap (STANCO) berkaitan supaya dapat dimanfaatkan secara langsung oleh pembuat keputusan negeri.
Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya berkemungkinan akan mempertimbangkan penglibatan universiti antarabangsa sekiranya terdapat lebihan peruntukan pada masa akan datang.
Terdahulu Pada Sidang Dewan Negeri Selangor minggu lepas, Datuk Seri Amirudin membentangkan mengenai RS-2 sebagai tindakan utama merealisasikan aspirasi Selangor sebagai Negeri Model ASEAN menjelang 2030 menerusi enam nilai antaranya Memacu Kepimpinan Ekonomi Selangor, Negeri Penyayang dan Berdaya Huni serta Negeri Lestari, Berdaya Tahan dan Strategik.