
ISTANBUL, 9 Ogos – Iran menyiarkan rakaman video yang jarang disiarkan memaparkan Pemimpin Agung Mojtaba Khamenei selepas laporan mendakwa beliau berada dalam keadaan kritikal, lapor Anadolu Ajansi yang memetik media tempatan.
- Mojtaba mengadakan pertemuan dengan Presiden Masoud Pezeshkian, membincangkan sara hidup rakyat, konflik dengan AS dan kerjasama ekonomi.
- Rakaman menunjukkan beliau dikelilingi beberapa individu dan bercakap dengan mereka.
- Mehr tidak nyatakan bila atau di mana rakaman dibuat serta tidak mengenal pasti individu yang mengiringi beliau.
Video yang disiarkan agensi berita separa rasmi Mehr itu menunjukkan Mojtaba dikelilingi beberapa individu dan dilihat sedang bercakap dengan mereka.
Mehr tidak menyatakan bila dan di mana rakaman itu dibuat, selain tidak mengenal pasti individu yang mengiringinya.
Agensi itu melaporkan pada Ahad bahawa Mojtaba mengadakan pertemuan dengan Presiden Iran Masoud Pezeshkian, yang memasuki tahun ketiga pentadbirannya.
Menurut laporan itu, pertemuan berkenaan membincangkan cabaran semasa yang dihadapi Iran, termasuk keperluan sara hidup rakyat dan konflik ketenteraan dengan Amerika Syarikat (AS), selain kerjasama ekonomi dengan rakan kongsi asing.
Mojtaba dipilih sebagai pemimpin agung Iran pada awal Mac selepas bapanya, Ali Khamenei, terkorban dalam serangan udara Amerika Syarikat-Israel pada 28 Feb lepas. Beliau tidak pernah muncul di khalayak ramai sejak dipilih memegang jawatan itu.
– BERNAMA-ANADOLU