
KUALA LUMPUR, 9 Ogos – Kementerian Komunikasi akan bekerjasama dengan Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi mempergiat usaha memerangi denggi menerusi program komuniti.
- Cadangan mengadakan gotong-royong mega sempena Bulan Kesiapsiagaan Nasional Oktober 2026.
- Berbincang dengan Menteri Perpaduan kerana Rukun Tetangga di bawah kementerian itu bagi memantapkan kerjasama.
- Fahmi merasmikan Program Gotong-royong Mega Perangi Aedes di Lembah Pantai.
- Rancang semburan berkala bersama PKD Lembah Pantai; kawasan terjejas termasuk PPR Kampung Limau, Desa Aman 2, Kondominium Rakyat.
Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, antara cadangan ialah mengadakan gotong-royong mega sempena Bulan Kesiapsiagaan Nasional (BKN) 2026 pada Oktober ini.
“Saya akan bercakap dan berbincang dengan Menteri Perpaduan (Datuk Aaron Ago Dagang) memandangkan Rukun Tetangga berada di bawah kementerian itu bagi meneliti kerjasama yang lebih erat bersama dengan pihak KKM dalam usaha mengadakan gotong-royong.
“Mungkin bersempena dengan Bulan Kesiapsiagaan Nasional bulan Oktober sesuai untuk diadakan satu gotong-royong mega, tertakluk kepada perancangan pihak Kementerian Perpaduan dan juga JAPEN sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Gotong-royong Mega Perangi Aedes di Lembah Pantai, hari ini.
Fahmi berkata langkah itu penting berikutan jumlah kes denggi yang direkodkan ketika ini membimbangkan.
Sebanyak 52,123 kes denggi direkodkan di seluruh negara sehingga minggu epidemik ke-30 tahun ini.
Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya merekodkan 9,465 kes, manakala Lembah Pantai, Bukit Bintang dan Seputeh mencatatkan 2,779 kes.
Mengenai usaha membanteras Aedes di Lembah Pantai, Fahmi berkata pihaknya akan berbincang dengan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Lembah Pantai bagi melaksanakan semburan berkala di kawasan perumahan terjejas.
Antara kawasan dikenal pasti ialah PPR Kampung Limau, Desa Aman 2 dan Kondominium Rakyat.