
LUNDU, 9 Ogos- Kerajaan masih menunggu waris kanak-kanak lelaki yang ditemui berkeliaran di sebuah pasar raya di Terengganu untuk tampil bagi membolehkan kanak-kanak itu kembali kepada keluarga asal.
- JKM akan menempatkan kanak-kanak di institusi kebajikan jika waris tidak tampil, demi memastikan kebajikannya terus terjaga.
- Kerajaan mengkaji pindaan Akta Kanak-Kanak 2001 untuk meluaskan perlindungan termasuk isu berkaitan teknologi dan input dari negara lain.
- Datuk Seri Nancy menyeru wanita, terutama suri rumah, peka terhadap hak mereka apabila berdepan keganasan rumah tangga.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata sekiranya tiada waris tampil dalam tempoh ditetapkan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersedia menempatkan kanak-kanak berkenaan di institusi kebajikan.
“Sekiranya masih tiada waris yang tampil, kita akan menempatkan kanak-kanak itu di institusi kebajikan. Itu proses yang kita lakukan supaya kebajikannya terus terjaga dan dia tidak dibiarkan begitu sahaja,” katanya ketika ditemui media selepas Program Kesedaran Keganasan Rumah Tangga “Wonderful Life” anjuran JKM di sini hari ini.
Terdahulu pada pada 5 Ogos lepas, kanak-kanak berkenaan yang didakwa bermalam di tingkat dua menara tinjau di Pantai Batu Burok sejak beberapa hari ditemui merayau-rayau di sebuah pasar raya.
Buat masa ini, kanak-kanak terbabit berada di bawah jagaan sebuah institusi kebajikan masyarakat di negeri berkenaan.
Dalam pada itu, Datuk Seri Nancy memaklumkan kerajaan sedang mengkaji mekanisme sesuai bagi memperluas skop perlindungan kanak-kanak menerusi cadangan pindaan Akta Kanak-Kanak 2001.
Beliau berkata kajian berkenaan turut mengambil kira input dari negara lain bagi memastikan pindaan akta itu dapat merangkumi perkembangan semasa termasuk perkara berkaitan teknologi.
“Bukan sahaja perkara yang berlaku sekarang, malah ada perkara baharu melibatkan teknologi yang perlu kita masukkan.
“Kita juga mendapat maklumat dan input daripada negara lain,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Datuk Seri Nancy berkata sebanyak 298 kes keganasan rumah tangga direkodkan di Sarawak sehingga Jun lepas berbanding 552 kes sepanjang tahun lalu.
Bagaimanapun, beliau berkata angka berkenaan bersifat subjektif berikutan peningkatan kesedaran masyarakat terhadap isu keganasan rumah tangga, yang mendorong lebih ramai tampil mendapatkan bantuan atau membuat laporan.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar golongan wanita terutama suri rumah peka terhadap hak mereka sekiranya berdepan situasi keganasan rumah tangga.