Penyalahgunaan dadah membabitkan kanak-kanak di Terengganu membimbangkan

Datuk Ruslin Jusoh (kanan) menerangkan mengenai bahaya dadah kepada kanak-kanak di atas bas bergerak AADK di Felda Tenang/ Foto BERNAMA

BESUT, 8 Ogos – Golongan kanak-kanak berusia 10 hingga 14 tahun yang terjebak dalam penyalahgunaan dadah di Terengganu membimbangkan pada suku pertama tahun ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • AADK memperkasakan pencegahan sejak peringkat sekolah rendah dengan penglibatan keluarga dan komuniti.
  • Jumlah penagih dan penyalahgunaan dadah di Terengganu menurun kira-kira 7.2 peratus tahun ke tahun.
  • Dadah jenis ATS mendominasi kes, manakala syabu dan pil kuda menyumbang majoriti kes direkodkan.

Ketua Pengarah Agensi Anti Dadah Kebangsaan, (AADK) Datuk Ruslin Jusoh berkata statistik menunjukkan kes membabitkan golongan berkenaan meningkat 16.7 peratus.

Sehubungan itu, pendekatan pencegahan telah diperkasa pihaknya seawal peringkat sekolah rendah, selain penglibatan serius keluarga dan komuniti.

“Sebagai contoh di Tanah Rancangan FELDA, pihak kami mendekatkan diri dengan keluarga di sana menerusi pelbagai pendekatan agar langkah pencegahan dan kesedaran dapat diterapkan sedari awal,” katanya.

Bagaimanapun beliau menyatakan, jumlah penagih dan penyalahgunaan dadah di Terengganu menurun 7.2 peratus pada tempoh sama berbanding lebih 8,100 orang tahun lalu.

“Individu berusia antara 25 hingga 44 tahun kekal sebagai golongan tertinggi terjebak iaitu lebih 68 peratus daripada keseluruhan kes direkodkan,” ujarnya.

Jelas beliau, dadah jenis ATS masih mendominasi lebih 80 peratus kes di samping syabu dan pil kuda mencatat lebih 6,200 kes atau 81.9 peratus.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI di FELDA Tenang di sini.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.