Golongan asnaf terus diperkasa, bantuan dipertingkat

Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail

KUALA LUMPUR, 8 Ogos – Usaha menyantuni golongan asnaf dan berpendapatan rendah diperkasa secara menyeluruh menerusi pendekatan kebajikan, dakwah serta sokongan sosial yang berterusan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program Ziarah Dakwah Mesra Komuniti 2.0 (2026) dijadikan medium membentuk masyarakat inklusif, prihatin dan saling membantu.
  • JAWI dengan peruntukan MAIWP menghimpunkan pelbagai agensi untuk menyampaikan bantuan zakat secara menyeluruh.
  • Pendekatan turun padang bersemuka memastikan keperluan asnaf dikenal pasti dan bantuan disalurkan berkesan.
  • Aktiviti termasuk forum, kuiz, pameran, penyerahan rezeki dan sumbangan makanan kepada 200 penerima.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, Program Ziarah Dakwah Mesra Komuniti 2.0 Tahun 2026 dilihat sebagai medium dalam membentuk masyarakat lebih inklusif, prihatin dan saling membantu.

Program anjuran Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dengan peruntukan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) itu menghimpunkan pelbagai agensi bagi memastikan bantuan disampaikan secara menyeluruh.

“Alhamdulillah, hari ini MAIWP dan JAWI bersama-sama menyantuni golongan yang memerlukan, khususnya golongan asnaf melalui bantuan zakat bagi meringankan sedikit beban mereka.

“Kita dapat menggabungkan usaha pelbagai agensi supaya pendekatan yang dilaksanakan lebih menyeluruh dan bantuan dapat disampaikan kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya.

Beliau yang juga isteri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan turun padang secara bersemuka penting bagi memastikan keperluan golongan asnaf dikenal pasti dan bantuan dapat disalurkan dengan lebih berkesan.

Program berkenaan turut menyediakan forum mesra komuniti, kuiz dakwah, reruai pameran jabatan dan agensi serta penyerahan sumbangan rezeki kepada penerima.

Pada program sama, turut disampaikan sumbangan makanan kepada 200 penerima selain khidmat bimbingan dan maklumat berkaitan bantuan yang disediakan agensi kerajaan serta institusi agama.

Antara agensi dan rakan strategik terlibat ialah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Pusat Pungutan Zakat MAIWP serta Kompleks Dar Assa’adah MAIWP.

Program itu merupakan inisiatif dalam merapatkan jurang antara masyarakat dan golongan asnaf, selain memperkukuh silaturahim serta meningkatkan kesedaran mengenai kebajikan sosial dan semangat kesukarelawanan dalam komuniti.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.