
IPOH, 8 Ogos – Seorang lelaki berusia 39 tahun maut selepas kereta yang dinaikinya bersama lima ahli keluarga terbabas ke dalam longkang di Kampung Pulau Juar, Kampung Gajah, malam tadi.
- Kejadian dilaporkan kira-kira pukul 10.52 malam.
- Seorang wanita dan empat kanak-kanak dikeluarkan orang awam sebelum bomba tiba.
- Pemandu Mohd Khirzee Musa ditemui tidak sedarkan diri di bahagian pemandu.
- KKM melakukan CPR di lokasi tetapi mangsa disahkan meninggal dunia sebelum diserahkan kepada polis.
Dalam kejadian kira-kira pukul 10.52 malam itu, kenderaan berkenaan membawa enam mangsa terdiri daripada seorang lelaki dewasa (pemandu), seorang wanita dewasa serta empat kanak-kanak.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata berkata, wanita berkenaan bersama empat kanak-kanak berjaya dikeluarkan dari kenderaan oleh orang awam sebelum pasukan bomba tiba di lokasi.
“Mangsa, Mohd Khirzee Musa ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di bahagian pemandu.
Ketua operasi kemudian menjalankan penilaian awal (size-up) dan mengaplikasikan Konsep SAVER sebelum anggota menjalankan kerja menyelamat,” katanya dalam satu kenyataan.
Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk rawatan dan bantuan resusitasi kardiopulmonari (CPR) di lokasi.
Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia sebelum diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) I, Zahuri Zainal Abidin itu membabitkan tujuh anggota BBP Kampung Gajah dengan kekuatan sebuah jentera FRT dan sebuah kenderaan.
Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 12.30 tengah malam.