
KUANTAN, 8 Ogos – Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke Istiadat Akad Nikah anakanda baginda Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Ilyana Alia dengan pasangan Christopher Lionel Froggatt di ibu negara, semalam.
- Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal dan kerabat bergelar turut berangkat ke istiadat akad nikah.
- Akad nikah dilaksanakan oleh Mufti Pahang Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim sebagai jurunikah.
- Majlis melibatkan solat sunat, perarakan ke pelamin, penyerahan mas kahwin, penyarungan cincin, bacaan doa, merenjis dan sesi bergambar.
Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah bersama-sama paduka adinda dan kerabat bergelar turut berangkat ke istiadat itu.
Menurut hantaran Facebook Kesultanan Pahang, istiadat akad nikah dilaksanakan Mufti Pahang Datuk Dr Asmadi Mohamed Naim selaku jurunikah dalam majlis tersebut.
Selesai lafaz akad nikah, pengantin lelaki menunaikan solat sunat sebelum istiadat diteruskan dengan perarakan masuk pasangan itu ke pelamin bagi majlis penyerahan mas kahwin dan upacara menyarung cincin perkahwinan.
“Majlis diteruskan dengan bacaan doa sebelum majlis merenjis sebagai simbolik restu dan doa kesejahteraan buat pasangan mempelai,” menurut hantaran itu.
Istiadat diakhiri dengan sesi bergambar bersama-sama ahli keluarga dan tetamu kehormat sebelum Sultan Pahang meninggalkan majlis. – BERNAMA