
LABUAN, 8 Ogos- Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) menerusi LABUANfm memperkukuh peranannya sebagai medium penyampaian maklumat kepada masyarakat menerusi siaran luar radio di lokasi (RDL) sempena Karnival Pendidikan MADANI ‘Sehari Bersama Rakyat’.
- Siaran luar menggunakan laporan terus dan studio mini meningkatkan penyampaian maklumat serta memberi pendedahan kepada petugas dan penyampai.
- Penglibatan langsung membolehkan penyampai melihat penganjuran serta menyampaikan maklumat kepada audiens dengan lebih berkesan dan sahih.
- Siaran luar menjadi platform mempamerkan profesionalisme penyampai serta membuka ruang kerjasama dengan agensi, sektor swasta, NGO dan komuniti.
- Penglibatan luar konti akan terus diberi penekanan agar stesen kekal dekat dengan masyarakat dan menyampaikan informasi terus dari lokasi.
Timbalan Pengarah Jabatan Penyiaran Labuan, Howard Martin Kim Sung berkata penglibatan secara langsung di lokasi membolehkan LABUANfm menyampaikan maklumat menerusi laporan terus dan studio mini, selain memberi pendedahan kepada petugas serta penyampai mengenai program yang berlangsung.
“Kita merupakan penyiar tempatan, jadi sudah semestinya penglibatan RTM dalam setiap penganjuran serta peristiwa penting di lokaliti ini amat penting.
“Ini juga memberi pendedahan kepada penyampai LABUANfm untuk melihat sendiri sesuatu penganjuran, sekali gus membolehkan maklumat yang disampaikan kepada audiens lebih berkesan dan sahih,” katanya.
Beliau berkata siaran luar itu turut menjadi platform untuk mengetengahkan profesionalisme penyampai LABUANfm kepada masyarakat, selain membuka ruang kerjasama dan jaringan dengan agensi kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta komuniti.
Menurutnya, penglibatan LABUANfm di luar konti akan terus diberi penekanan bagi memastikan stesen itu kekal dekat dengan masyarakat serta mampu menyampaikan informasi secara terus dari lokasi.