
SHAH ALAM, 7 Ogos – Selangor menyasarkan untuk muncul sebagai hab ekonomi digital dan kreatif serantau menerusi pelaksanaan dua inisiatif baharu bawah Rancangan Selangor Kedua (RS-2).
- Selangor Digital Future 2026-2030 mengukuhkan infrastruktur, tadbir urus digital dan keupayaan perkhidmatan generasi baharu.
- SEL-Create Hubs sediakan platform bersepadu untuk bina bakat, rangkaian perniagaan dan tingkat daya saing kreatif serantau tanpa mengetepikan identiti negeri.
- Fokus pada semikonduktor peralihan ke fasa bernilai tinggi dan galakkan hak harta intelek reka cip litar bersepadu.
- Pembiayaan melalui modal teroka serta pelaburan domestik dan antarabangsa, sasaran mewujudkan 10,000 peluang pekerjaan menjelang 2030.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Selangor Digital Future Action Plan 2026-2030 dan Selangor Creative Economy Advancement Hubs, atau SEL-Create Hubs menjadi sebahagian strategi kerajaan negeri untuk memperkukuh kedudukan Selangor dalam bidang berimpak tinggi.
“Strategi ini penting bagi meningkatkan peranan Selangor dalam industri semikonduktor ke fasa bernilai tinggi, selain membolehkan syarikat tempatan memiliki hak harta intelek bagi reka bentuk cip litar bersepadu yang menjadi tunjang ekonomi digital global.
“Dari aspek pendanaan, kerajaan negeri akan memberi tumpuan kepada dua strategi utama, iaitu modal teroka serta pelaburan domestik dan antarabangsa, dengan sasaran mewujudkan 10,000 peluang pekerjaan dalam keseluruhan rantaian industri semikonduktor menjelang 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membentangkan Rancangan Selangor Kedua (RS-2) di DUN Selangor di sini hari ini.
Sementara itu, Selangor Digital Future Action Plan 2026 hingga 2030 memberi tumpuan kepada usaha meletakkan Selangor sebagai peneraju ekonomi digital serantau.
Pendekatan itu merangkumi pengukuhan infrastruktur, tadbir urus digital serta keupayaan perkhidmatan generasi baharu bagi memastikan Selangor terus berdaya saing seiring perkembangan teknologi dan perubahan ekonomi global.
Bagi sektor kreatif pula, SEL-Create Hubs akan menyediakan platform bersepadu untuk penggiat industri membangunkan bakat, memperluas jaringan perniagaan dan meningkatkan daya saing di peringkat serantau tanpa mengetepikan identiti negeri.
Menerusi RS-2, Kerajaan Negeri Selangor menyasarkan pembangunan ekonomi berasaskan inovasi, teknologi dan kreativiti sebagai pemacu baharu pertumbuhan ekonomi Selangor.
Langkah itu sekali gus dijangka memperkukuh daya saing Selangor dan memposisikannya sebagai hab ekonomi digital serta kreatif di peringkat serantau.