Prosiding pendakwaan Datuk Seri Ismail tangguh ke 27 Ogos, kini dirawat di IJN

KUALA LUMPUR, 7 Ogos – Prosiding pendakwaan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang dijadual berlangsung hari ini ditangguhkan ke 27 Ogos selepas beliau dimasukkan ke Institut Jantung Negara (IJN) kerana masalah kesihatan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pihak pendakwaan telah mendaftarkan pertuduhan, tetapi tiada pengakuan direkodkan.
  • Datuk Amer Hamzah Arshad bertindak sebagai peguam mewakili Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
  • Bekas Perdana Menteri dijadual menjalani prosedur memasang alat perentak jantung (pacemaker) pada petang ini.

Hakim Mahkamah Sesyen di sini Suzana Hussin menangguhkan pembacaan pertuduhan dan pengambilan pengakuan ke tarikh berkenaan.

Peguam, Datuk Amer Hamzah Arshad yang mewakili Datuk Seri Ismail memohon penangguhan berikutan anak guamnya berada di IJN.

“Anak guam saya mengalami masalah kesihatan semalam ketika dirakam keterangan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan dibawa ke IJN.

“Meskipun pihak pendakwaan telah mendaftarkan pertuduhan, namun ia tidak dapat dibacakan dan tiada pengakuan direkodkan susulan anak guam sedang menerima rawatan di IJN,” katanya ketika ditemui media selepas prosiding.

Tambah Datuk Amer, bekas Perdana Menteri itu turut dijadual menjalani prosedur memasang alat perentak jantung (pacemaker) pada petang ini.

Datuk Seri Ismail sepatutnya didakwa hari ini atas pertuduhan pengisytiharan harta di bawah Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.