Piala Dunia lonjak muat turun RTMKlik

Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail

KUALA LUMPUR, 6 Ogos Jumlah muat turun baharu di platform digital RTM, RTMKlik, meningkat sebanyak 3.6 juta sepanjang tempoh penyiaran Piala Dunia 2026, sekali gus mencerminkan sambutan luar biasa penonton terhadap kandungan siaran RTM menerusi platform digital.

RINGKASAN BERITA AI
  • RTMKlik merekodkan 10.3 juta muat turun selepas Piala Dunia 2026 berakhir.
  • Dalam 35 hari penyiaran, jumlah capaian kumulatif RTMKlik mencecah 120 juta.
  • RTM mencatat lebih 120.8 juta paparan kandungan merentas platform televisyen dan digital.
  • Perkembangan itu menunjukkan keberkesanan strategi penyiaran bersepadu memperluas capaian kandungan kepada rakyat.

Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail berkata, peningkatan ketara itu membuktikan platform berkenaan semakin menjadi pilihan utama rakyat untuk mengikuti liputan kejohanan sukan bertaraf dunia secara langsung dan ia boleh ditonton pada bila-bila masa.

“Sebaik sahaja Piala Dunia 2026 berakhir, RTMKlik merekodkan 10.3 juta muat turun. Secara keseluruhannya, platform itu mencatat pertambahan 3.6 juta muat turun baharu.

“Dalam tempoh 35 hari penyiaran, bermula 15 Jun hingga 19 Julai 2026, jumlah capaian kumulatif RTMKlik turut mencecah 120 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2026 Peringkat Jabatan Penyiaran Malaysia dan Majlis Apresiasi Petugas Siaran Kejohanan Piala Dunia FIFA 2026 di Wisma Berita, Angkasapuri Kota Media.

Menurut Ashwad, sebelum kejohanan Piala Dunia berlangsung RTMKlik merekodkan antara 3.8 juta hingga empat juta pengguna aktif.

Selain peningkatan jumlah muat turun, RTM turut mencatat lebih 120.8 juta paparan kandungan merentas platform televisyen dan digital sepanjang tempoh penyiaran kejohanan itu.

Perkembangan itu sekali gus menunjukkan keberkesanan strategi penyiaran bersepadu dalam memperluas capaian kandungan kepada rakyat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.