
WASHINGTON, 7 Ogos – Amerika Syarikat (AS) dilaporkan merancang untuk memperluaskan tapisan terhadap akaun media sosial pemohon visa, termasuk wartawan asing sebagai sebahagian daripada langkah Presiden Donald Trump memperketat dasar imigresen.
- Karoline Leavitt memuat naik semula artikel Daily Signal di X yang melaporkan Jabatan Negara sedang memperketat semakan media sosial pemohon visa.
- Memo dalaman mencadangkan pemohon menukar tetapan akaun media sosial ke mod awam bagi membolehkan semakan.
- Jabatan Negara kata mereka sentiasa menilai prosedur saringan untuk memastikan pemohon mematuhi undang-undang dan tidak ancam keselamatan.
- Peraturan baharu mengehadkan tempoh tinggal pelajar kepada maksimum empat tahun, wartawan dihadkan kepada 240 hari, boleh mohon lanjutan.
Setiausaha Akhbar White House, Karoline Leavitt, pada Khamis memuat naik semula satu artikel daripada Daily Signal di platform X yang melaporkan Jabatan Negara AS sedang memperketat semakan media sosial kepada pemohon bagi lebih banyak kategori visa.
Laman web itu menyatakan ia telah memperoleh satu memo dalaman yang menggariskan cadangan mewajibkan pemohon visa menukar tetapan akaun media sosial mereka kepada mod awam atau terbuka bagi tujuan semakan.
Ketika diminta mengulas laporan itu oleh AFP, jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) berkata, jabatan berkenaan sentiasa mengkaji dan menilai prosedur saringan serta tapisan di seluruh dunia bagi memastikan proses pengeluaran visa memenuhi standard tertinggi keselamatan negara dan keselamatan awam AS.
“Semakan dalam talian pemohon visa bertujuan memastikan mereka memenuhi syarat bawah undang-undang negara itu serta tidak menimbulkan ancaman kepada keselamatan.
“Ia bagi membolehkan pemohon membuktikan kelayakan mereka untuk menerima visa mengikut undang-undang AS dan memastikan tiada individu yang menimbulkan risiko terhadap keselamatan Amerika Syarikat,” kata jurucakap jabatan itu.
AS ketika ini sudah mewajibkan pemohon bagi beberapa kategori visa termasuk visa pelajar, menjadikan akaun media sosial mereka boleh diakses secara umum.
Menurut Daily Signal, syarat itu kini dicadangkan untuk diperluaskan kepada wakil media asing serta sebahagian warganegara Mexico dan Kanada.
Sejak kembali memegang jawatan Presiden tahun lalu, Trump telah mengambil langkah mengusir jutaan pendatang tanpa izin serta mengetatkan kemasukan rakyat dari beberapa negara ke AS.
“Visa adalah satu keistimewaan, bukannya hak,” tegas Setiausaha Negara AS, Marco Rubio.
Bulan lalu, pentadbiran Trump memuktamadkan peraturan baharu yang mengenakan had lebih ketat terhadap tempoh tinggal pelajar asing dan wartawan di AS.
Bawah perubahan yang boleh dilaksanakan seawal September, warga asing yang menggunakan visa pelajar hanya akan dibenarkan tinggal mengikut tempoh program akademik mereka, dengan had maksimum selama empat tahun.
Sementara itu, wartawan asing akan dihadkan tempoh tinggal kepada hanya 240 hari, atau kira-kira lapan bulan, namun mereka masih boleh memohon lanjutan bagi tempoh yang sama. – AFP