
DUNGUN, 6 Ogos – Seorang pelajar sebuah kolej ditemukan lemas selepas mandi bersama sekumpulan rakannya di Sungai Loh, Kampung Jongok Batu, Hulu Dungun, di sini petang tadi.
- Seorang pelajar kolej ditemukan lemas selepas mandi di Sungai Loh, Kampung Jongok Batu, Hulu Dungun petang tadi.
- Rakan mangsa menghubungi talian kecemasan; bomba dan polis tiba untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat.
- Mayat ditemui timbul petang itu dan diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Dungun.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Nik Ab Halim Nik Mat ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.
“Dalam kejadian kira-kira 4.10 petang tadi itu, jasad Ahmad Al Hafiz Asri Ahmad Kamarulzaman, 19 tahun, ditemukan pada jarak kira-kira 10 meter dari lokasi mangsa dilaporkan mandi dan hilang.
“Mangsa, penuntut Diploma Pengurusan Pelancongan Islam, Kolej Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Bandar AlMukhtafi Billah Shah, Dungun dikatakan pergi ke kawasan rekreasi berkenaan bersama sembilan lagi rakan kira-kira 2.20 minit petang,” katanya.
Kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa dilihat tidak timbul selepas terjun dari sebuah kawasan berbatu ke dalam sungai berkenaan untuk mandi.
Rakan mangsa yang menyedari kejadian itu bertindak segera menghubungi talian kecemasan untuk mendapatkan bantuan.
Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar AlMukhtafi Billah Shah bersama polis bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada pukul 4.42 petang.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) terus dilakukan di kawasan tebing serta permukaan air di sekitar kawasan mangsa dilaporkan lemas.
Mayat mangsa kemudiannya ditemukan timbul di permukaan air kira-kira 5.15 minit petang tadi dan dibawa naik ke daratan oleh pasukan SAR dan penduduk Kampung Jongok Batu.
Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut sebelum dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Dungun untuk proses bedah siasat.