
PETALING JAYA, 6 Ogos – Persidangan Kuala Lumpur 20 (KL20) 2026 akan memperkenalkan empat fokus tambahan, iaitu ekonomi kreatif, ekonomi digital, permainan digital dan sektor ketiga.
- Komitmen bersama kerajaan, industri, pelabur dan ekosistem bagi menjadikan Malaysia antara 20 ekosistem syarikat pemula terbaik dunia menjelang 2030.
- Kerajaan menilai Pelan Tindakan KL20 selepas hampir dua tahun untuk kenal pasti jurang dan penambahbaikan ekosistem syarikat pemula.
- Fokus KL20 2026 adalah pengukuhan ekosistem menerusi mobilisasi modal, pengkomersialan teknologi dan peluasan akses pasaran untuk pertumbuhan global.
- Siri KL20 2026 akan diadakan di Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur dengan tema berasingan sebelum acara kemuncak di ibu negara.
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, empat fokus tersebut merupakan penambahan kepada empat fokus asal KL20 2024, iaitu teknologi tenaga hijau, teknologi pertanian, pembuatan dan automasi, serta kewangan Islam.
“Dengan komitmen bersama kerajaan, industri, pelabur dan seluruh ekosistem, saya yakin KL20 2026 akan membawa Malaysia lebih hampir kepada aspirasi untuk berada dalam kelompok 20 ekosistem syarikat pemula terbaik dunia menjelang tahun 2030,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pra Pelancaran KL20 2026, di sini, hari ini.
Selepas hampir dua tahun pelaksanaan Pelan Tindakan KL20 diperkenalkan pada 2024, Kerajaan kini menilai keberkesanan inisiatif berkenaan serta mengenal pasti jurang dan penambahbaikan bagi memperkukuh ekosistem syarikat pemula negara.
Persidangan KL20 2026 memberi tumpuan kepada pengukuhan ekosistem syarikat pemula negara menerusi mobilisasi modal, pengkomersialan teknologi serta peluasan akses pasaran bagi membuka laluan pertumbuhan syarikat tempatan ke peringkat global.
KL20 2026 akan berlangsung di Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur dengan memberi tumpuan kepada sektor pertumbuhan tinggi termasuk semikonduktor, elektrik dan elektronik (E&E), ekonomi kreatif serta permainan digital.
Siri KL20 2026 akan bermula di Pulau Pinang pada 24 September menerusi tema ‘Silicon Surge’ , diikuti Johor pada 29 September dengan tema ‘Creative Reimagined’ , sebelum acara kemuncak ‘The Flagship’ di Kuala Lumpur pada 5 November 2026.