
KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Bekas Presiden Konfederasi Berbasikal Asia (ACC), Tan Sri Darshan Singh Gill dikurniakan darjah kebesaran daripada Kerajaan Thailand sebagai menghargai sumbangan bakti beliau lebih lima dekad terhadap pembangunan sukan berbasikal di Thailand dan antarabangsa.
- Dianugerahkan The Most Admirable Order of the Direkgunabhorn (Kelas Kelima), penyampaian disempurnakan oleh Naib Presiden Senior ACC, Jeneral Decha Hemkasri.
- Penghormatan itu dianggap kebanggaan negara dan kejayaan milik seluruh warga sukan berbasikal Malaysia.
- Memulakan pembabitan di akar umbi Perak, berkhidmat lebih 35 tahun hingga memegang jawatan kebangsaan, Asia dan Lembaga Pengurusan UCI.
Beliau dianugerahkan darjah kebesaran ‘The Most Admirable Order of the Direkgunabhorn’ (Kelas Kelima – Benjama Direkgunabhorn) yang dikurniakan Raja Thailand, Raja Bhumibol Adulyadej.
Penyampaian anugerah berprestij itu disempurnakan oleh Naib Presiden Senior Konfederasi Berbasikal Asia (ACC) merangkap Presiden Persatuan Berbasikal Thailand, Jeneral Decha Hemkasri, di sini hari ini.
Tan Sri Darshan Singh menyifatkan penghormatan tersebut sebagai satu kebanggaan buat negara serta kejayaan berkenaan bukan sekadar pencapaian peribadi, sebaliknya milik seluruh warga sukan berbasikal Malaysia.
“Ia sentiasa menjadi satu perkara yang menyenangkan untuk menerima anugerah, apatah lagi dari negara luar. Ini satu keutamaan dan penghormatan bukan sahaja untuk saya tetapi untuk Malaysia secara keseluruhannya serta arena berbasikal tempatan,” katanya
Mengimbas pembabitan awal beliau selama lebih 35 tahun dalam arena berkenaan, Tan Sri Darshan Singh memulakan langkah di peringkat akar umbi di Perak sebelum diberi kepercayaan memegang tampuk kepimpinan ke peringkat kebangsaan, Asia hingga menganggotai Lembaga Pengurusan Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).
Jelas beliau, komitmen berterusan dan keupayaan berkhidmat secara berperingkat dari peringkat negeri hingga ke arena global menjadi kunci utama perjalanan panjangnya dalam sukan itu.