Perubahan landskap pelaburan semasa perlu diambil kira dalam syor cadangan pindaan Akta 535

Polisi berkenaan pelaburan juga perlu ditetapkan dengan matlamat yang jelas 

KUALA LUMPUR, 5 Ogos – Perubahan landskap pelaburan semasa menerusi instrumen melibatkan pendigitalan serta hartanah antara penambahbaikan yang boleh dilaksana dalam cadangan pindaan Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).

RINGKASAN BERITA AI
  • Kenal pasti jenis pelaburan baharu dan semak semula kaedah penilaian, keselamatan dan pendekatan analisis sesuai untuk setiap instrumen.
  • Polisi pelaburan mesti ditetapkan dengan matlamat jelas selaras objektif Tabung Haji, mengutamakan ketelusan dan integriti.
  • Keutamaan pelaburan harus memberi tumpuan kepada keselamatan dana dan perlindungan pendeposit daripada memaksimum keuntungan semata.
  • RCI mencadangkan pindaan Akta 535 mengehadkan kuasa menteri dalam pelantikan lembaga dan menetapkan kriteria kepakaran lebih ketat; libat urus sedang dijalankan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Antarabangsa Majlis Perancangan Kewangan Malaysia (MFPC), Anuar Shuib ketika menyuarakan pandangan itu menyatakan ianya berupaya memperkukuh pengurusan dana pendeposit secara lebih berkesan, selari amalan tadbir urus dan rangka kawal selia semasa agar ianya kekal relevan dalam memenuhi keperluan terkini.

“Sebagai contoh, peluang-peluang pelaburan yang wujud pada hari ini tidak sama seperti ketika akta tersebut mula diwujudkan. Oleh itu, penambahbaikan yang perlu dilakukan adalah dengan mengenal pasti jenis-jenis pelaburan semasa yang bersesuaian, selain mengkaji semula kaedah penilaian, aspek keselamatan serta pendekatan analisis yang boleh digunakan bagi setiap instrumen pelaburan yang sebelum ini tidak wujud,” katanya kepada RTM.

Beliau turut berpendapat, polisi berkenaan pelaburan juga perlu ditetapkan dengan matlamat yang jelas selaras dengan objektif penubuhan Tabung Haji bertujuan memastikan pengurusan dana dilaksana secara telus, berintegriti serta mampu melindungi kepentingan pendeposit dalam jangka panjang.

“Kita perlu menetapkan keutamaan dalam matlamat pelaburan. Jika dibandingkan dengan organisasi yang berorientasikan keuntungan, matlamat utama mereka mungkin adalah untuk memaksimumkan keuntungan.

“Namun, bagi organisasi seperti Tabung Haji, keutamaan seharusnya diberi kepada aspek keselamatan dana berbanding keuntungan semata-mata,” katanya lagi.

Sebelum ini, laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengesyorkan Akta Tabung Haji 1995 dipinda bagi mengehadkan kuasa mutlak menteri dalam pelantikan Ahli Lembaga Tabung Haji (TH), selain menetapkan kriteria pemilihan yang lebih ketat berdasarkan kepakaran.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan, turut memaklumkan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan sedang dilaksana bagi mendapatkan maklum balas berhubung cadangan pindaan akta berkenaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.