Alcaraz sah tarik diri Cincinnati Masters

Foto REUTERS

LOS ANGELES, 5 Ogos – Pemain tenis nombor dua dunia, Carlos Alcaraz menarik diri daripada kejohanan ATP Cincinnati Masters kerana masih menjalani proses pemulihan daripada kecederaan pergelangan tangan yang menyebabkannya berehat sejak April lalu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Alcaraz menarik diri daripada Cincinnati Masters kerana kecederaan pergelangan tangan masih belum pulih.
  • Beliau merancang menggunakan Cincinnati sebagai pemanas badan menjelang Terbuka AS, di mana beliau juara bertahan.
  • Pengarah kejohanan Bob Moran mendoakan pemulihan cepat dan berharap dapat menyambut kepulangannya ke Cincinnati.
  • Alcaraz turut menarik diri daripada Madrid, Rome dan Roland Garros serta terlepas Wimbledon; Jannik Sinner juara Wimbledon.

Bintang Sepanyol berusia 23 tahun itu dijadualkan kembali beraksi dalam kejohanan pemanas badan utama menjelang Terbuka Amerika Syarikat (AS), Grand Slam terakhir tahun ini yang bermula pada 30 Ogos di New York, dengan Alcaraz hadir selaku juara bertahan.

Penganjur dalam satu kenyataan memaklumkan punca Alcaraz menarik diri daripada kejohanan di Cincinnati disebabkan kecederaan pergelangan tangan yang masih belum pulih sepenuhnya.

“Kami tahu Alcaraz sedang melakukan segala yang termampu untuk kembali beraksi dalam kejohanan secepat mungkin. Kami mendoakan agar beliau segera pulih dan berharap dapat mengalu-alukan kepulangannya ke Cincinnati pada masa akan datang,” kata pengarah kejohanan, Bob Moran.

Alcaraz sebelum ini merancang untuk kembali beraksi di Cincinnati buat kali pertama sejak mengalami kecederaan pada pusingan pertama Terbuka Barcelona pada April.

Juara Grand Slam tujuh kali itu sebelum ini turut menarik diri daripada kejohanan di Madrid, Rome dan Roland Garros, yang mana beliau merupakan juara bertahan dua kali.

Beliau turut terlepas aksi Wimbledon yang menyaksikan pencabar utamanya, Jannik Sinner muncul juara buat tahun kedua berturut-turut selepas menewaskan juara Terbuka Perancis dari Jerman, Alexander Zverev. -AFP

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.