Pemilik bangunan warisan Pulau Pinang digesa laksana pemeriksaan keselamatan

Foto FB Wong Hon Wai

GEORGETOWN, 4 Ogos – Semua pemilik bangunan warisan diminta agar menjalankan pemeriksaan keselamatan bagi mengelak insiden dua warganegara Sri Lanka cedera selepas dihempap runtuhan struktur bangunan warisan di Lebuh Armenia, daripada berulang.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan negeri menghubungi Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka untuk menyelaraskan bantuan kepada mangsa.
  • MBPP dan GTWHI akan mengeluarkan notis nasihat keselamatan kepada pemilik bangunan warisan.
  • Kerajaan negeri menunggu laporan penuh pihak berkuasa untuk mengenal pasti punca kejadian.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri, Wong Hon Wai berkata, kerajaan negeri amat prihatin dengan keadaan mangsa dan telah berhubung dengan Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka ke Malaysia bagi menyalurkan bantuan yang diperlukan.

Sebagai langkah susulan, satu notis nasihat keselamatan akan dikeluarkan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan George Town World Heritage Incorporated (GTWHI) kepada semua pemilik bangunan warisan.

“Pihak kerajaan negeri juga sedang menghubungi kedutaan Sri Lanka dan Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka ke Malaysia untuk menyelaraskan bantuan.

“Pihak berkuasa tempatan, sama ada Majlis Perbandaran Pulau Pinang atau Majlis Bandaraya Pulau Pinang ataupun GTWHI, saya telah cakap mereka dengan supaya satu notis nasihat dikeluarkan kepada pemilik bangunan.

“Saya rasa bukan sahaja bangunan tersebut mempunyai struktur yang rapuh hingga menyebabkan runtuhan menimpa ke atas pelancong. Namun, ciri-ciri keselamatan bangunan warisan dan bangunan lama perlu diberikan perhatian kerana ia membahayakan orang ramai yang lalu lalang di kawasan tersebut, ” tambahnya lagi.

Terdahulu, Wong bersama Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, H’ng Mooi Lye; Datuk Bandar MBPP, Datuk A. Rajendran; Ahli Dewan Undangan Negeri Komtar, Teh Lai Heng dan wakil GTWHI melawat lokasi kejadian.

Kerajaan negeri sedang menunggu laporan penuh daripada pihak berkuasa bagi mengenal pasti punca kejadian.

Dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari tadi, mangsa yang dikenal pasti sebagai Mohamad Ammtar, 66, dan Fatimah, 55, menerima rawatan awal di lokasi kejadian sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.