
SHAH ALAM, 4 Ogos – Sebanyak 3,747 kes jenayah seksual membabitkan kanak-kanak di Selangor direkodkan bagi tempoh 2021 hingga 2025.
- Rogol tertinggi 1,845 kes; amang seksual fizikal 1,654; bukan fizikal 156; memiliki atau mengedar bahan lucah turut dicatat.
- Kes amang seksual fizikal meningkat paling ketara, naik 70 peratus sejak 2021.
- Kerajaan negeri laksanakan pendidikan reproduktif, latihan rakan sebaya, kempen Lindung Kasih dan galakkan pendekatan menyeluruh dengan pelbagai pihak.
Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat Selangor Anfaal Saari berkata kesalahan rogol mencatat angka tertinggi dengan 1,845 kes, amang seksual fizikal 1,654 kes, amang seksual bukan fizikal 156 kes, memiliki bahan lucah 42 kes dan menghasilkan atau mengedarkan bahan lucah 24 kes.
Tambah beliau, peningkatan paling ketara melibatkan kesalahan amang seksual fizikal yang meningkat sebanyak 70 peratus sejak 2021.
Bagaimanapun katanya peningkatan itu turut didorong dengan kesedaran masyarakat yang semakin meningkat untuk tampil membuat laporan.
“Pelbagai inisiatif advokasi dan intervensi dilaksanakan bagi menangani isu terbabit.
“Ia termasuk program Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial, latihan pembimbing rakan sebaya di sekolah serta kempen Lindung Kasih yang memberi pendedahan mengenai sentuhan selamat dan saluran aduan Talian Kasih 1599,” katanya.
Pada masa sama, Kerajaan Negeri Selangor turut mempergiat kempen menentang keganasan terhadap wanita dan kanak-kanak selain, menggesa pendekatan menyeluruh melibatkan pelbagai pihak termasuk kerajaan, sekolah, ibu bapa, komuniti dan masyarakat bagi membendung jenayah seksual terhadap kanak-kanak.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan yang dikemukakan oleh ADUN Sungai Ramal, Mohd Shafie Ngah mengenai kes jenayah seksual kanak kanak di Dewan Negeri Selangor di sini.