Dewan Rakyat: Kos sara hidup, peruntukan sekolah dan projek pembangunan antara tumpuan

PARLIMEN

KUALA LUMPUR, 19 Oktober – Isu kos sara hidup termasuk membabitkan kumpulan isi rumah M40, peruntukan sekolah, dan pelaksanaan projek pembangunan menerusi peruntukan Belanjawan 2027 antara isu yang dijadual menjadi perhatian Dewan Rakyat hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Ahmad Fadhli minta penjelasan mekanisme semakan kenaikan bil elektrik susulan perubahan AFA daripada rebat kepada surcaj.
  • Dewan Rakyat meneruskan perbahasan Rang Undang Undang Perbekalan 2027 termasuk peruntukan pembangunan tidak melebihi RM85 bilion.
  • Status projek tebatan banjir Sungai Pinang dibangkitkan untuk memastikan pelaksanaan dan pemantauan lebih berkesan.
  • Ahli Parlimen tuntut perkembangan pelaksanaan pakej Lebuhraya Pan Borneo serta penjelasan terhadap kelewatan projek jalan berkembar.

Ahli Parlimen Kuala Pilah, Datuk Adnan Abu Hassan antara yang akan membangkitkan mengenai langkah membantu isi rumah M40, termasuk kemungkinan menilai semula kelayakan berdasarkan pendapatan dan perbelanjaan semasa.

Dalam aspek kos sara hidup juga, Ahmad Fadhli Shaari (Pasir Mas) dijadual meminta penjelasan mengenai mekanisme semakan kenaikan bil elektrik, susulan perubahan kadar pelarasan bahan api automatik (AFA) daripada rebat kepada surcaj sepanjang tahun ini.

Turut menjadi perhatian ialah peruntukan RM50 juta dan RM200 juta bagi program Sekolah Angkat MADANI serta Kampung Angkat MADANI. Datuk Dr. Richard Rapu @ Aman anak Begri (Betong) dijadual akan membangkitkan perkara tersebut.

Ini termasuk berkenaan pecahan peruntukan, ketelusan impak kewangan serta maklumat penerima manfaat, termasuk projek berkaitan perumahan rakyat, bagi memastikan pelaksanaan dan pemantauan lebih berkesan.

Dalam sektor pelancongan, Ahli Parlimen Hassan Saad (Baling) dijadual membangkitkan petunjuk prestasi utama bagi Program Zon Tumpuan Pelancongan Patuh (ZTPP), khususnya usaha menangani aduan harga berlebihan yang boleh menjejaskan pengalaman pelancong.

Isu pembangunan infrastruktur turut merangkumi status projek tebatan banjir Sungai Pinang juga antara isu yang akan dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Sanisvara Nethaji Rayer (Jelutong).

Manakala Wetrom Bahanda (Kota Marudu) meminta perkembangan pelaksanaan pakej semasa Lebuhraya Pan Borneo, termasuk kelewatan projek jalan berkembar.

Selain itu, status Dasar Wanita Negara 2025-2030, cadangan peluasan sekatan umur media sosial kepada platform permainan dalam talian yang digunakan kanak-kanak dan remaja, serta penebusan Baucar Buku MADANI turut dijadual dibangkitkan.

Dalam agenda utama persidangan, Dewan Rakyat dijadual meneruskan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 pada peringkat dasar, termasuk peruntukan pembangunan tidak melebihi RM85 bilion daripada Kumpulan Wang Pembangunan.

Beberapa rang undang-undang lain turut berada dalam urusan persidangan, antaranya pindaan berkaitan Mahkamah Kehakiman, pindaan Perlembagaan Persekutuan mengenai pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, serta Rang Undang-Undang Pembaharuan Semula Bandar 2025 yang menyambung perbahasan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.