
KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Pendekatan diplomasi atau dialog adalah kunci penyelesaian sesuatu konflik atau pertikaian, bukannya dengan kekuatan angkatan tentera.
- Angkatan tentera bertujuan menjamin keamanan dan kesejahteraan negara.
- Pertikaian perlu diselesaikan menerusi dialog aman, perantara dan diplomasi, bukan peperangan.
- Pendekatan diplomasi kritikal supaya peranan ketenteraan kekal memelihara keamanan serta kestabilan.
- Negara besar harus mematuhi undang-undang antarabangsa dan tata kelola berasaskan peraturan tanpa pilih kasih.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan tujuan sebenar penubuhan angkatan tentera adalah bagi menjamin keamanan dan kesejahteraan negara.
“Seboleh mungkin, sebarang pertikaian mesti diselesaikan menerusi dialog secara aman, perantara, dan diplomasi, bukannya melalui kancah peperangan,” tegas beliau.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pembukaan pada Persidangan Undang-Undang dan Operasi Ketenteraan Antarabangsa (MILOPS 26) ke-37.
Menurutnya, pendekatan berasaskan diplomasi amat kritikal bagi memastikan peranan institusi ketenteraan kekal berteraskan usaha memelihara keamanan serta kestabilan, dan bukannya menjadi pencetus kepada persengketaan.
Beliau berharap prinsip keamanan, berkecuali, dialog, saling menghormati dan pematuhan undang-undang antarabangsa terus menjadi asas perbincangan MILOPS 26 demi mewujudkan Asia Tenggara dan Indo-Pasifik yang lebih aman, stabil serta makmur.
Tambah Datuk Seri Mohamed Khaled, Malaysia memandang tinggi peranan ketenteraan daripada negara-negara kuasa besar sebagai penjaga keamanan dan kestabilan global, namun pengiktirafan tersebut hadir bersama tanggungjawab yang amat besar.
“Kami tidak berhasrat untuk mengatur bagaimana anda harus mengendalikan dasar luar mahupun urusan antarabangsa, namun kami berharap ia dilaksanakan dengan mematuhi undang-undang antarabangsa serta tatakelola berasaskan peraturan secara konsisten dan bukannya bersifat memilih kasih,” katanya.