
KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan pencapaian kontinjen Malaysia pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 sebagai satu kejayaan luar biasa yang membanggakan seluruh rakyat.
- Kontinjen catat prestasi terbaik sejak 2010, melebihi sasaran pingat dengan kutipan lapan emas, tiga perak dan lima gangsa.
- Hanya 59 atlet termasuk 22 paralimpik bertanding lapan sukan, membuktikan persiapan rapi, semangat berpasukan dan iltizam tinggi.
- Zahid ucap syabas kepada atlet, jurulatih dan petugas, tekankan semangat juang dan pengorbanan sebagai kebanggaan serta dorongan untuk kejayaan akan datang.
Menerusi hantaran di Facebook rasminya, beliau menzahirkan rasa syukur selepas Malaysia menamatkan temasya dengan kutipan lapan pingat emas, tiga perak dan lima gangsa, sekali gus mencatat prestasi terbaik negara sejak edisi 2010.
Menurut beliau, kejayaan itu lebih membanggakan apabila kontinjen negara melepasi sasaran pingat yang ditetapkan.
“Dengan hanya 59 atlet termasuk 22 atlet paralimpik yang beraksi dalam lapan jenis sukan, kontinjen negara membuktikan bahawa dengan persiapan yang rapi, semangat berpasukan dan iltizam yang tinggi, Malaysia mampu berdiri megah di pentas antarabangsa.
“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada seluruh atlet, jurulatih, pegawai, petugas sokongan serta semua pihak yang telah bekerja keras mengharumkan nama Malaysia,” katanya.
Beliau berkata, nilai sebenar kejayaan atlet tidak hanya diukur melalui pingat yang dimenangi, sebaliknya turut terserlah menerusi semangat juang dan pengorbanan yang dipamerkan sepanjang temasya.
“Sama ada pulang dengan pingat mahupun tidak, setiap pengorbanan dan semangat juang yang dipamerkan tetap menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia,” katanya.
Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berharap pencapaian cemerlang di Glasgow menjadi pembakar semangat kepada atlet negara untuk terus melakar kejayaan pada kejohanan antarabangsa akan datang.
“Terima kasih kerana telah mengharumkan nama Malaysia. Syabas kontinjen Malaysia. Anda semua kebanggaan negara,” katanya.