
KUALA LUMPUR, 3 Ogos – Kajian lanjut masih dijalankan berhubung cadangan memasukkan barangan basah dalam program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
- Kualiti, keselamatan makanan dan perlindungan pengguna dipastikan sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.
- Kerajaan meluaskan kategori SARA memasukkan makanan sejuk beku sebagai kategori baharu bermula Februari.
- Sasaran tingkatkan 10,000 kedai runcit kecil menjelang hujung 2026 dan kurangkan jarak kedai terdekat kepada 7 kilometer.
- Lebih 14,000 kedai runcit dan pasar raya menjadi Rakan Niaga SARA dan lebih 6,000 kedai kecil menerima limpahan ekonomi.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, kajian menyeluruh itu dilaksanakan bagi memastikan aspek kualiti, keselamatan makanan dan perlindungan pengguna terpelihara sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.
Bagaimanapun, kerajaan telah mengambil langkah awal dengan meluaskan senarai kategori barangan SARA sedia ada kepada makanan sejuk beku, yang diperkenalkan sebagai kategori baharu bermula Februari lalu.
“Dengan ketetapan Perutusan Tahun Baharu 2026 oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, kerajaan juga menyasarkan untuk meningkatkan kedai runcit kecil kepada 10,000 kedai menjelang hujung tahun 2026 dan jarak kedai runcit terdekat dikurangkan daripada 10 kilometer kepada 7 kilometer,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kerajaan telah berjaya meningkatkan penyertaan lebih 14,000 kedai runcit dan pasar raya sebagai Rakan Niaga SARA.
Daripada jumlah itu, lebih 6,000 kedai runcit kecil dan koperasi peruncitan turut menerima limpahan ekonomi daripada pelaksanaan program tersebut, selaras dengan sasaran kerajaan untuk memperluaskan penyertaan peniaga kecil sebagai Rakan Niaga SARA.
“Pendekatan itu bukan sahaja bertujuan memaksimumkan kuasa beli penerima bagi mendapatkan barangan keperluan asas harian pada harga yang berpatutan, malah membantu meningkatkan penyertaan serta pertumbuhan peniaga kecil dalam ekosistem peruncitan tempatan.”
Datuk Seri Amir Hamzah menjawab soalan Senator Tan Sri Datuk Low Kian Chuan pada sesi soal jawab di Dewan Negara.