
PUTRAJAYA, 3 Ogos – Kejayaan cemerlang diraih pelajar Malaysia di persada dunia membuktikan keberkesanan ekosistem kokurikulum pendidikan negara.
- Penglibatan murid secara terancang dalam aktiviti kokurikulum membina jati diri dan meningkatkan daya saing antarabangsa.
- Sokongan menyeluruh serta bimbingan berkualiti dalam ekosistem kokurikulum melahirkan pelajar mampu berdiri sama tinggi di pentas dunia.
- Pencapaian antarabangsa menggambarkan keberkesanan program, sambil kokurikulum memupuk perkembangan holistik dan menyokong prestasi akademik.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, penglibatan murid secara terancang dan tersusun dalam aktiviti kokurikulum terbukti berupaya membina jati diri serta melahirkan modal insan berdaya saing tinggi di peringkat antarabangsa.
“Kecemerlangan murid tidak dinilai dari segi akademik semata-mata, sebaliknya mereka mempunyai ruang yang cukup luas untuk terus membina potensi serta mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa.
“Kejayaan hari ini adalah hasil langsung daripada keberkesanan ekosistem kokurikulum yang dibina bersama. Sekali gus membuktikan bahawa sokongan tidak berbelah bahagi serta bimbingan berkualiti mampu meletakkan anak-anak Malaysia berdiri sama tinggi di peringkat dunia,” katanya ketika merasmikan Anugerah Inspirasi Kokurikulum KPM 2025, di sini hari ini.
Fadhlina turut berkongsi rasa bangga atas pencapaian luar biasa para pelajar dalam pelbagai pertandingan di arena antarabangsa.
Minggu lalu, pelajar yang mewakili Malaysia ke Olimpiad Matematik Antarabangsa Ke-67 di Shanghai, China berjaya membawa pulang satu pingat emas, tiga pingat perak, satu pingat gangsa dan satu anugerah khas.
Sementara, pasukan orkestra Sekolah Seri Puteri, Seri Puteri Symphonic Winds Orchestra (SPWinds) meraih Gold With Distinction dalam pertandingan Wind Band Youth Division di World Music Contest di Belanda.
Manakala, Jayden Tan Jun Ren dari SMJK Jit Sin Pulau Pinang yang dianugerahkan King Abdulaziz Foundation Scholarship dalam pertandingan sains Regeneron ISEF di Arizona, Amerika Syarikat.
Pada majlis itu, Tang Zer Vee yang merupakan pelajar tingkatan empat SMJK Chung Ling Butterworth menerima anugerah Emas Kebangsaan atas penglibatannya dalam pertandingan bahas dan pengucapan awam sehingga ke peringkat antarabangsa.
Zer Vee meluahkan rasa syukur dan gembira atas pengiktirafan yang diterima.
“Aktiviti kokurikulum merupakan sebahagian daripada proses pembangunan diri secara holistik. Saya berharap semua rakan dan masyarakat dapat memberi tumpuan terhadap aktiviti kokurikulum sama seperti yang diberikan kepada bidang akademik.
“Kokurikulum bukan sahaja membentuk pembangunan diri dan menggalakkan potensi secara menyeluruh. Malah, ia menyeronokkan serta membantu meningkatkan prestasi akademik murid secara tidak langsung,” tambahnya.